Anda di sini

Sabah perlu laksana mekanisme baharu untuk tangani PTI

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

KOTA KINABALU: Mekanisme kawalan keberadaan dan pergerakan warga asing perlu wujud di Sabah sebagai pendekatan baharu menangani isu pendatang tanpa izin (PTI).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sudah tiba masanya Sabah melaksanakan pendekatan baharu berikutan isu PTI yang kompleks di negeri ini.

Menurutnya, mekanisme berkenaan mengutamakan pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

"Sejak 1990 Sehingga November 2019, proses pengusiran PTI di negeri ini mencatatkan jumlah seramai 587,443 orang.

"Tahun ini, sebanyak 80 kali penghantaran pulang dijalankan melibatkan seramai 9,419 PTI," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bolkiah Ismail (WARISAN-Pitas) berhubung usaha terkini yang dijalankan kerajaan dalam menangani kebanjiran PTI di Sabah.

Shafie berkata, ketika ini Pusat Tahanan Sementara (PTS) dalam keadaan sesak dengan jumlah tahanan mencecah sehingga 7,463 orang di semua empat PTS.

Menurutnya, sebanyak 6,018 operasi bersepadu dijalankan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan tahun ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sedar masalah PTI tidak mampu dibendung sepenuhnya dengan hanya menggunakan kaedah tangkap dan usir semata-mata.

Sehubungan itu beliau menegaskan, usaha membendung kebanjiran PTI tidak mampu dicapai dengan sekelip mata.

"Usaha ini tidak terletak di bahu kerajaan secara keseluruhan kerana ia memerlukan penglibatan serta kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah orang awam supaya tidak bersekongkol dalam melindungi atau menggaji PTI untuk bekerja," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement