Anda di sini

Kraftangan Malaysia perkasa 20,360 komuniti kraf tahun ini

Advertisement
 Abdul Kusen (dua dari kiri) dan Ibrahim (kiri) mendengar penjelasan Karim (dua dari kanan) mengenai kraftangan di salah sebuah gerai pameran.
PENJELASAN: Abdul Kusen (dua dari kiri) dan Ibrahim (kiri) mendengar penjelasan Karim (dua dari kanan) mengenai kraftangan di salah sebuah gerai pameran.

KOTA KINABALU: Sehingga bulan September 2019, Kraftangan Malaysia berjaya memperkasa seramai 20,360 orang komuniti kraf.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, dari jumlah itu 5,737 orang merupakan usahawan kraf, 10,643 orang pekerja kraf dan 3,980 orang dari lain-lain komuniti.

"Lain-lain komuniti terdiri daripada pembekal bahan mentah, tukang jahit, pekerja sambilan, penghuni penjara yang menghasilkan produk kraf, masyarakat orang asli dan tukang-tukang kraf Perak.

"Dalam usaha memperkasa komuniti ini, Kraftangan Malaysia berjaya mengadakan beberapa aktiviti pemerkasaan antaranya menerusi projek Kraf Komuniti Ku (KKK).

"Projek itu memfokuskan pemantapan keusahawanan komuniti kraf melalui kemahiran dalam penghasilan, pengeluaran dan pemasaran yang mampu meningkatkan pendapatan dan juga taraf hidup sesebuah komuniti," katanya.

Tambah beliau, menerusi aktiviti pemasaran dan promosi, sebanyak RM370 juta nilai jualan berjaya dicapai menerusi usahawan yang berdaftar dan RM37.1 juta daripadanya merupakan hasil jualan daripada 2,129 orang usahawan kraf di Sabah.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Abdul Kusen Hussen dalam Majlis Perasmian Festival Kraf Borneo Sabah 2019 di sini, kelmarin.

Sementara itu, Biro Wanita dan Keluarga Kampung Sayap, Kota Belud Welen Dali berkata, pembangunan industri kraf tangan di negeri ini banyak membantu komuniti di tempatnya menjana pendapatan.

"Kampung kami agak terkenal sebagai pusat pelancongan dan menerusi kraf tangan, kami dapat menjana pendapatan sekaligus meningkatkan taraf hidup seramai 33 orang ahli kraf di Kg. Sayap," katanya.

Welen turut berterima kasih atas bimbingan Pusat Inkubator Kraf Kota Belud yang memberikan bimbingan dan peluang bagi penduduk mempelajari seni kraf tangan yang juga bakal memberikan tunjuk ajar yang lebih mendalam bagi penghasilan kraf.

Seramai 84 usahawan kraf dari Sabah dan Sarawak menyertai Festival Kraf Borneo Sabah 2019 yang diadakan di Suria Sabah dari 18 hingga 28 November ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail, Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia Karim Samsuri dan ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. - Penerangan

  • oleh
  • Advertisement