Anda di sini

Argentina, Uruguay seri 2-2 pada aksi persahabatan

Advertisement
 Messi (depan) diasak hebat oleh Godin ketika bersaing pada perlawanan persahabatan di Stadium Bloomfield, Tel Aviv kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Messi (depan) diasak hebat oleh Godin ketika bersaing pada perlawanan persahabatan di Stadium Bloomfield, Tel Aviv kelmarin. — Gambar AFP

TEL AVIV, Israel: Lionel Messi menjaringkan penalti lewat ketika Argentina seri 2-2 dengan Uruguay pada satu perlawanan persahabatan yang berlangsung di Israel Isnin lepas, satu perlawanan yang dianggap satu kemenangan untuk negara Yahudi itu.

Perlawanan mempertemukan Messi dengan rakan sepasukannya di kelab Barcelona, Luis Suarez dan ia kelihatan seperti Suarez bakal menewaskan Messi apabila beliau menjaringkan satu gol dan mengumpan satu lagi gol untuk meletakkan pasukannya 2-1 di hadapan sehingga ke minit kecederaan.

Tetapi bola terkena tangan seorang pemain pertahanan Uruguay dalam kotak penalti dan Messi tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyempurnakannya untuk mengikat kedudukan.

Messi sebelum itu mengumpan bola kepada Sergio Aguero untuk menjadikan kedudukan 1-1 selepas Edinson Cavani membuka jaringan buat Uruguay.

Suarez menjaringkan gol dari satu tendangan percuma di luar kotak penalti untuk meletakkan pasukannya  kembali di hadapan sebelum gol penyamaan Messi.

Perlawanan itu dianggap oleh penganjur sebagai saat penting buat Israel ekoran pembatalan satu lagi perlawanan melibatkan Argentina pada awal tahun selepas tekanan dari aktivis pro-Palestin.

Penganjur menganggap ia sebagai satu perlawanan tentang keamanan tetapi aktivis mendesak ia dibatalkan kerana layanan Israel terhadap penduduk Palestin.

Ia bagaimanapun tidak dapat lari dari politik – pada pertengahan separuh masa pertama, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan ia tidak lagi menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah, satu langkah yang dikutuk oleh kepimpinan Palestin.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez berkata beliau “sangat bimbang” dengan perlawanan itu selepas pertempuran memuncak di antara tentera Israel dan kumpulan militan di wilayah berjiran Gaza minggu lepas.

Perlawanan ini berlangsung selepas pembatalan satu perlawanan persahabatan pra-Piala Dunia di antara Argentina dan Israel pada Jun 2018 selepas desakan boikot.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung di Baitulmuqadis, membangkitkan kemarahan penduduk Palestin dan kritikan terhadap Argentina atas talian.

Israel menganggap Baitulmuqadis sebagai ibu kota mereka sementara penduduk Palestin mendakwa wilayah di bahagian timur bandar raya itu – yang diduduki Israel pada 1967 dan kemudian menjadi milik mereka – sebagai ibu kota di masa hadapan.

Perlawanan kali ini diadakan di ibu kota komersial Israel, Tel Aviv. — AFP

Advertisement