Anda di sini

Kerajaan baharu berjaya realisasikan tuntutan dalam perkara MA63

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

KOTA KINABALU: Pencapaian persetujuan bersama diantara Kerajaan Sabah dan Persekutuan berkaitan lapan perkara daripada 21 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya direalisasikan ketika pemerintahan terkini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu sudah ditunggu selama 55 tahun tetapi hanya dengan kerajaan baharu sahaja ianya mampu dicapai.

"Daripada 21 tuntutan, kita berjaya mencapai persetujuan dalam lapan perkara. Pada bulan depan kita akan adakan lagi perbincangan yang sama.

"Ini membuktikan bahawa betapa seriusnya kerajaan pada hari ini bagi memastikan perkara ini direalisasikan," katanya ketika menjawab soalan tambahan soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Dr Jeffery G Kitingan di persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 di sini.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa 21 perkara dalam MA63 itu adalah hak Sabah, hak berkenaan sudah diserahkan dan usaha yang boleh dilakukan adalah mengkaji dari segi perundangan serta kerangka berkaitan.

Katanya, ianya bukan hanya berkaitan dengan petroleum yang diambil oleh Petronas tetapi juga hasil-hasil menerusi produk-produk petroleum.

"Kini kita perlu cari kerangka untuk mendapatkan hasil kepada Sabah, bukan hanya menekankan royalti minyak atau dividen 20 peratus.

"Kita perlu melihat kepada aspek lain yang boleh mendapatkan hasil pendapatan kepada Sabah," katanya.

Bagaimanapun katanya, pembangunan negeri ini tidak hanya boleh bergantung kepada sumber minyak sahaja sebaliknya perlu menerokai hasil-hasil bumi yang lain bagi memastikan kemajuan Sabah dapat direalisasikan.

Katanya, apa juga janji yang diberikan oleh kerajaan terdahulu perlu dihormati dan mengikut perundangan sedia ada.

"Tidak bererti kini kita berkuasa dan kita boleh membatalkan semua perjanjian terdahulu, saya yakin tidak ada pemerintahan di dunia ini yang mengamalkan amalan itu.

"Pada 70an keupayaan Sabah tidaklah besar, bukan mudah untuk kerajaan negeri mendapatkan kewangan serta kepakaran dalam cari gali minyak.

"Sudah pasti zaman itu, Sabah bergantung kepada kerajaan persekutuan...kini kita kena merayu dan melihat dari segi perundangan yang ada...kini kita mencapai kejayaan apabila lapan perkara sudah dipersetujui," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha yang diperlukan kini adalah merancang dan bukannya pertelingkahan.

Katanya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (PEMANDU) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bilangan 4 tahun 2019 yang telah diadakan pada 18 November baru-baru ini, Kerajaan Sabah mencadangkan agar negeri ini mempunyai saham Petronas.

"Tukarkan 20 peratus itu kepada bentuk saham agar kita bukan hanya dapat satu dividen sahaja, kita juga dapat cukai serta sebagainya.

"Proses-proses tuntutan ini bukan mudah dan memerlukan  tempoh masa lama...walaupun saya tahu kita boleh mengambil tindakan perundangan, tetapi sejauh manakah kita mampu pergi dengan tindakan itu," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan dari ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun, Shafie menjelaskan antara kejayaan lain dicapai oleh kerajaan baharu ialah belanjawan akan datang Sabah akan menerima RM52 juta daripada RM26 juta dari Kerajaan Pusat.

Katanya, itu adalah kenaikan 100 peratus dan ia adalah kejayaan yang tidak pernah dilakukan mana-mana kerajaan sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement