Anda di sini

Rejimen 513 Askar Wataniah digesa tingkat profesionalisme

Advertisement
 Intan Safinaz (tiga kiri) berkenan merasmikan tanda nama jalan masuk kem Rejimen 513 Askar Wataniah iaitu Jalan Tunku Intan Safinaz selepas acara Perbarisan Penghargaan dan Serah Terima Tugas Komander Rejimen 513 Askar Wataniah di kem Bukit Pinang, di Alor Setar semalam. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Intan Safinaz (tiga kiri) berkenan merasmikan tanda nama jalan masuk kem Rejimen 513 Askar Wataniah iaitu Jalan Tunku Intan Safinaz selepas acara Perbarisan Penghargaan dan Serah Terima Tugas Komander Rejimen 513 Askar Wataniah di kem Bukit Pinang, di Alor Setar semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Anggota Rejimen 513 Askar Wataniah perlu sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme, mempamerkan semangat juang dan kecemerlangan dalam aktiviti dan tugasan yang disertai, titah Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda bertitah warga rejimen itu juga perlu mengekalkan prestasi semasa dan terus mengeratkan silaturahim.

“Rejimen 513 Askar Wataniah bukan sahaja cemerlang dalam pentadbirannya sehingga mampu mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang dtetapkan oleh bahagian pasukan simpanan, malahan turut cemerlang dari segi latihan dan pertandingan yang disertai.

“Banyak aktiviti yang telah saya lalui dan lakukan bersama warga rejimen ini sepanjang saya menjalankan tugas sebagai komander rejimen ini. Semua itu akan menjadi kenangan manis buat saya dan akan kekal diabadikan dalam lipatan sejarah saya,” titah baginda pada acara Perbarisan Penghargaan dan Serah Terima Tugas Komander Rejimen 513 Askar Wataniah di Kem Bukit Pinang di sini, semalam.

Pada acara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz yang telah menerajui rejimen itu selama lebih 14 tahun secara rasminya menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Turut hadir pada acara itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Firdaus Ahmad yang mewakili Menteri Besar Kedah, Panglima 6 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid dan Panglima 2 Divisyen, Brig Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Sebelum acara berakhir, semua pegawai dan anggota rejimen berdiri di sepanjang laluan keluar kem tersebut bagi memberi penghormatan kepada Tunku Puteri Intan Safinaz.

Baginda turut berkenan merasmikan tanda nama jalan masuk ke kem itu yang telah dinamakan sebagai Jalan Tunku Intan Safinaz. — Bernama

Advertisement