Anda di sini

KKTP siapkan buku panduan untuk semua PBT di Sabah

Advertisement
 Jaujan diberi penerangan mengenai rumah hijau yang dibangunkan bersebelahan pejabat Majlis Daerah Tongod.
RUMAH HIJAU: Jaujan diberi penerangan mengenai rumah hijau yang dibangunkan bersebelahan pejabat Majlis Daerah Tongod.

TONGOD: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah akan menyiapkan buku panduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini melaksanakan konsep PBT Hijau.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata, kerajaan negeri telah bersetuju dan memperakukan pelaksanaan konsep hijau di semua PBT di negeri ini.

"Pelaksanaan konsep hijau ini akan memberi impak besar kepada penjagaan alam sekitar, hidupan liar dan kepentingan biodiversiti,” katanya ketika melawat persediaan PBT Hijau di Daerah Tongod, pagi semalam.

Jaujan berkata beliau turun sendiri bagi melihat persiapan pelaksanaan PBT Hijau di Tongod dan Nabawan.

“Apa yang lebih penting, konsep hijau ini haruslah diterapkan kepada semua rakyat di negeri ini dalam mengutamakan tiga teras utama iaitu ekonomi, pembangunan dan alam sekitar,” katanya.

Beliau mengambil contoh dua negara yang telah mengamalkan konsep hijau iaitu Belanda dan Switzerland yang mana kedua-dua negara ini mengamalkan penjagaan alam sekitar.

“Kita semua tahu iklim dunia hari ini semakin meningkat dan pencemaran udara berlaku dimana-mana.

 “Oleh itu, saya yakin dengan pelaksanaan PBT Hijau ini akan memastikan negeri ini menjadi tumpuan dunia berdasarkan konsep hijau yang kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata negeri ini masih tidak terlambat melaksanakan konsep hijau walaupun pada dasarnya kita telah kehilangan banyak hutan-hutan semulajadi akibat kerakusan manusia.

 “Saya tahu daerah Tongod ini masih memiliki hutan semulajadi yang telah menjadikan daerah ini menjadi perintis kepada PBT Hijau sebelum diperluaskan ke seluruh PBT di Sabah,” jelasnya.

Jaujan berkata kerajaan hari ini amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan menjaga baik sumber alam yang kita ada untuk diwarisi generasi akan datang.

Dalam pada itu, beliau mahu semua lapisan masyarakat agar sama-sama memainkan peranan dalam menjayakan konsep hijau ini.

 “Semua ini bermula pada diri kita, keluarga dan masyarakat. Yang penting, masyarakat perlu memahami konsep hijau itu sendiri. Penjagaan alam sekitar dan sumber alam kita amat penting kepada semua,” katanya.

Jaujan turut mahu semua PBT di negeri ini mengurus sampah sarap dengan baik sebab sampah ini bukannya dibuang, sampah datangnya dari manusia.

“Kita perlu urus dengan baik dalam memastikan pembangunan mampan itu tercapai dan pelaksanaan penggunaan sumber semulajadi juga kita amalkan.

“Ini adalah salah satu usahakan kita dalam membangunkan pembangunan manusia dan kita juga perlu seimbangkan dengan penjagaan alam sekitar dengan baik,” katanya.

Mengenai tapak pelupusan sampah, Jaujan berkata KKTP akan buat kajian kepada konsep pembangunan mampan.

“Pembangunan yang dirancang di setiap daerah perlu dilaksanakan dengan baik agar tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah George Hiew Vun Zin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah, Setiausaha Tetap KKPT Datuk Hajah Masnah Mat Salleh, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Wong Foo Tin, Pegawai Daerah Tongod Willian Ahlan dan pegawai-pegawai kanan serta pemimpin tempatan.

  • oleh
  • Advertisement