Anda di sini

MPKKP agenda PH untuk pilihan raya: Abdul Karim

Advertisement
ABDUL KARIM
ABDUL KARIM

KUCHING: Penubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Sarawak cuma agenda Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang berkata demikian, menambah mustahil MPKKP ditubuhkan semata-mata untuk menyebarkan maklumat kepada warga Sarawak.

Katanya, agensi kerajaan persekutuan seperti RTM dan Jabatan Penerangan sudah memadai untuk menyebarkan maklumat meskipun berada jauh di pedalaman.

“Alasan yang diberikan PH mengapa mereka menubuhkan MPKKP adalah untuk menyebarkan maklumat kerana Kerajaan Sarawak tidak menyebarkan maklumat sebaik mungkin.

“Ini sebenarnya hanya untuk tujuan politik,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidang-an Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Beliau menyifatkan sesiapa sahaja yang menyokong penubuhan MPKKP sebagai pengkhianat Sarawak kerana ia akan memecahbelahkan penduduk kampung dan rumah panjang.

Menurutnya, perpecahan akan timbul apabila ada dua tuai rumah di sesebuah rumah panjang.

“Bagaimana jika dalam sesebuah rumah ada dua orang bapa,” katanya sambil menambah, sepatutnya warga Sarawak dan PH yang cintakan negeri ini akan membantah penubuhan MPKKP.

Jelasnya, Sarawak tidak memerlukan agensi dari Semenanjung Malaysia untuk menjaga warga desa.

Malah menurutnya, penubuhan MPKKP di Sarawak seolah-olah amalan pada zaman penjajah.

Jika MPKKP ditubuhkan untuk tujuan politik PH semata-mata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tegasnya amat bersedia berhadapan dengan cabaran PH.

“Kita tidak pernah gentar dengan MPKKP, kita tidak pernah gentar dengan PH. Jika Pilihan Raya Negeri diadakan esok, kami bersedia untuk itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menempelak PH kerana mengedarkan dekoder TV Digital myFreeview Malaysia untuk kegunaan televisyen menerusi pejabat pusat khidmat wakil rakyat DAP.

“Agih dekoder pun guna pusat khidmat, malulah. Adakah itu hanya cara anda untuk menang pilihan raya. Publisiti murahan. Rakyat dimainkan dalam hal ini, ini bukan caranya (seolah-olah sangat takut),” katanya.

Advertisement