Anda di sini

BESarawak meraikan kejayaan memenangi CMIEA

Advertisement
 Pasukan BESarawak bangga dengan kemenangan Anugerah CMIEA pertama mereka.
RAI KEJAYAAN: Pasukan BESarawak bangga dengan kemenangan Anugerah CMIEA pertama mereka.

KUCHING: Business Events Sarawak (BESarawak) oleh Biro Konvensyen Sarawak (SCB) meraikan kemenangan monumental tahun ini selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) di bawah kategori Anugerah Pengiktirafan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

CMIEA dianjurkan di Imperial Hotel di sini pada 25 Oktober lalu.

CMIEA yang sangat berprestij itu merupakan penghargaan tertinggi kepada organisasi yang menggunakan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan (BEF) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai penanda aras.

Kemenangan BESarawak telah merealisasikan impaknya kepada Sarawak sebagai penyuntik ekonomi dan platform penyampaian pengetahuan yang kukuh.

Ia juga mempromosikan amalan terbaik yang menjadikan biro sebagai model serta inspirasi kepada organisasi lain.

Ketua Pegawai Operasi BESarawak Amelia Roziman berkata, anugerah yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu merupakan langkah ke arah yang betul untuk industri.

“Kemenangan ini amat besar maknanya kerana acara perniagaan akhirnya diiktiraf seperti industri lain.

“Sektor acara perniagaan merupakan platform penting yang menggabungkan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran untuk memajukan banyak sektor dan secara tidak langsung membina pembangunan sosioekonomi yang kuat untuk Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Sejak biro itu dibuka pada 2006, lebih 900 acara perniagaan telah diadakan di Sarawak dengan input ekonomi berjumlah RM803 juta daripada jumlah perbelanjaan delegasi langsung.

Jumlah ini diperoleh daripada perbelanjaan penerbangan, penginapan dan perbelanjaan lain yang ditanggung delegasi.

BESarawak kini mengembangkan fokusnya kepada Program Impak Legasi yang bertujuan memacu transformasi sosial dan ekonomi dalam bidang sosial, perniagaan dan komuniti kerajaan.

BESarawak juga memberi tumpuan untuk menyelaraskan acara perniagaan Sarawak di bawah tujuh Bidang Fokus Utama (7KFA) iaitu Pembangunan Bandar, Pembangunan Sosial, Pembangunan Pertanian, Pembangunan Alam Sekitar, Pembangunan Industri termasuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Industri Perkhidmatan dan Ekonomi Digital.

Advertisement