Anda di sini

Kenyataan filem adiwira bukan seni Scorsese pecahkan Hollywood

Advertisement
 

KENYATAAN Martin Scorsese bahawa filem Marvel “bukan seni perfileman” telah memecah belah Hollywood dan penonton filem, selain mencetuskan reaksi daripada sokongan padu yang jitu hingga kepada tuduhan hipokrasi dan elitisme.

Pengarah yang memenangi anugerah Oscar itu menulis satu artikel dalam akhbar New York Times di mana dia berkata filem blokbuster adiwira tidak ada rasa risiko, misteri dan watak rumit yang penting bagi “seni” pembikinan filem.

Filem Marvel ada “diseliki pasaran, diuji audiens, disemak, diubahsuai, disemak semula dan diubah suai semula sehingga ia sedia untuk tontonan”, tulis pengarah ‘Goodfellas’ itu.

“Mereka tidak ada sesuatu yang penting dalam seni perfileman: visi seorang artis individu yang menyatukan,” tambah Scorsese, yang memburukkan lagi kontroversi yang dia mulakan dalam satu temu ramah majalah pada bulan lepas.

Pengarah lain seperti Francis Ford Coppola, Ken Loach dan Fernando Meirelles telah menyokong Scorsese, malah Coppola menyifatkan francais Marvel yang memecah rekod sebagai “menjijikkan”.

Pengkritik filem Hollywood turut menyokong pendirian pengarah itu.

“Scorsese pada asasnya adalah seorang ahli klimatologi filem, yang menarik perhatian kepada perubahan jahat yang semua kita dapat lihat dengan mata kita sendiri,” tweet David Ehrlich, pengkritik filem kanan Indiewire.

“Gembira dia menyebut perkara ini, sedih kerana dia terpaksa berbuat begitu,” tambahnya.

Namun tindakan menolak francais yang mengaut pendapatan tertinggi dalam dunia perfileman telah mencetuskan perdebatan di Hollywood tentang perkara yang boleh dianggap sebagai “seni”, dan siapa yang boleh mentakrifnya – termasuk kerana Scorsese mengakui dia hanya “cuba menonton beberapa daripadanya”.

“Itu tidak cukup bagus – anda tidak boleh menolak seluruh genre sebagai tidak ada seni perfileman tanpa menontonnya,” kata Tom Nunan, seorang penerbit yang memenangi anugerah Oscar dan profesor di Skeolah Teater, Filem dan Televisyen di Universiti Los Angeles California (UCLA).

“Orang selama ini memang lantang bersuara apabila mereka melihat perubahan sedang berlaku dan ia membuatkan mereka rasa tidak selesa,” kata Nunan (‘Crash’, 2006) kepada AFP, dan menyebut tentang ketibaan filem hit yang popular pada tahun 1970an seperti ‘Jaws’ dan ‘Star Wars’.

“Tidak ada orang yang berani sebelum ini untuk menolak sahaja arena itu – filem yang wajar menjadi blokbuster – sebagai tidak ada seni perfileman.”

- ‘Reaksi spontan’ -

Bob Iger, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat induk Marvel, Disney, pada bulan lepas menganggap kenyataan asal Scorsese sebagai “begitu tidak menghormati semua orang yang mengusahakan filem-filem tersebut”.

“Sesiapa sahaja yang pernah melihat sebuah filem Marvel tidak dapat sebenarnya membuat kenyataan itu,” kata Iger kemudian kepada BBC.

Natalie Portman, yang muncul dalam beberapa filem Marvel dan akan membintangi filem ‘Thor’ seterusnya, memberitahu The Hollywood Reporter “kesenian tidak dibuat dengan hanya satu cara sahaja”.

Namun hujah balas itu tidak dapat dibandingkan dengan kemarahan tentera peminat Marvel yang taksub dan menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahan mereka.

Banyak sekali tweet melakar Scorsese sebagai bersikap elit, dan ramai yang menarik perhatian kepada perangkaan box office yang menunjukkan sembilan filem Marvel dalam kelompok 25 filem yang mengaut keuntungan tertinggi sepanjang zaman.

Pencinta Marvel berkata untuk menikmati sepenuhnya pemegang rekod sepanjang zaman ‘Avengers: Endgame’, anda perlu sudah melihat 21 filem yang terdahulu, kerana watak-watak dan jalan ceritanya saling berhubung kait.

“Apa yang berlaku lama kelamaan ialah terdapat reaksi spontan daripada golongan tua dalam Hollywood,” kata profesor madya Universiti California Selatan, Gene Del Vecchio.

“Pembuat filem pada hari ini sudah mengubah kesenian – mereka sudah mengembangkan kesenian.”

Del Vecchio percaya cita rasa audiens sudah berkembang untuk menerima genre seperti fiksyen sains dan fantasi, manakala genre institusi lama sudah menguncup.

“Artis lama tidak menerima perkara itu kerana mereka sudah biasa dengan definisi kesenian yang jauh lebih sempit,” katanya.

“Mereka sudah ditinggalkan manakala audiens dan pembuat filem baharu sudah maju ke depan.”

Memburukkan lagi kontroversi adalah pengeluaran ‘The Irishman’, filem jenayah epik arahan Scorsese dengan bajet sebanyak AS$160 juta, oleh gergasi striming Netflix.

Dalam artikelnya, Scorsese berkata perbezaan di antara Marvel dan “seni perfileman” adalah penting kerana sekuel adiwira menyekat pengarah daripada pawagam – tempat “di mana pembuat filem mahu filemnya ditonton”.

‘The Irishman’ kini sedang ditayangkan di panggung, tetapi hanya untuk jendela 26 hari yang agak kecil sebelum ia beralih kepada platform striming Netflix di skrin kecil.

Sebagai perbandingan, ‘Endgame’ masih ditayangkan di pawagam empat bulan selepas ia dikeluarkan.

Netflix “membolehkan kami untuk membuat ‘The Irishman’ dengan cara yang kami perlu buat”, tulis Scorsese.

“Adakah saya mahu filem itu ditayangkan di lebih banyak skrin besar bagi jangka waktu yang lebih lama? Sudah tentulah saya mahu,” tambahnya.

Namun Nunan menyifatkan pendirian Scorsese sebagai “paling minimum bersifat hipokrit”.

“Bilakah dia menjadi dewa seni perfileman? Dia berurusan dengan syarikat yang ramai orang tuduh memusnahkan seni perfileman.” — AFP

Advertisement