Anda di sini

Sekolah perlu perkasa program sukan

Advertisement
 Abang Zulkifli disambut mesra warga PIBG SK Melaban di Limbang semalam.
APA KHABAR: Abang Zulkifli disambut mesra warga PIBG SK Melaban di Limbang semalam.

LIMBANG: Sekolah-sekolah di negara ini perlu memperkasakan program kesukanan dan olahraga bagi melahirkan murid-murid bukan sahaja cemerlang akademik malah bidang kokurikulum.

Wakil Menteri Kerja Raya, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata kejohanan sukan dan olahraga sejajar dengan hasrat dan dasar baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melahirkan murid-murid cemerlang dalam kedua-dua bidang itu.

"Dasar baharu KPM adalah memastikan kegiatan sukan sama taraf dan sama penting dengan akademik.

"Melalui penganjuran kejohanan olahraga kita dapat melahirkan satu murid satu sukan, sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan di semua sekolah," katanya pada Perasmian Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Melaban Medamit di sini semalam.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya itu berkata, kejayaan penganjuran aktiviti sukan memerlukan kemahiran, kesungguhan dan komitmen tinggi baik individu ataupun berpasukan.

"Melalui sukan dan olahraga juga menerapkan amalan positif kalangan murid-murid dalam kehidupan seharian.

"Aktiviti sukan dapat mewujudkan semangat berdaya saing, toleransi dan kerjasama kalangan murid-murid," katanya.

Menurutnya, aktiviti sukan mampu mewujudkan semangat kesediaan menerima kekalahan atau kegagalan selain menyubur semangat tidak putus asa merangkul lebih banyak kejayaan.

"Pada masa sama murid-murid dapat meningkatkan semangat dorongan dan motivasi serta sedia mencuba, menghormati keputusan dan akur dengan keupayaan masing-masing," jelasnya.

Katanya, lebih penting aktiviti sukan dapat menghalang pelajar daripada terlibat dalam gejala tidak sihat (dadah).

"Kegiatan sukan dan olahraga membangunkan modal insan yang berketrampilan, berdisiplin dan mempunyai jati diri kental serta mempunyai daya kepimpinan," katanya.

Beliau mahu setiap PIBG terus memainkan peranan mencapai kejayaan sekolah, membantu program pembangunan pelajar, akademik kokurikulum dan sahsiah serta kerohanian.

"PIBG perlu memastikan segala projek pembangunan fizikal sekolah dapat dilaksanakan selain menghidupkan semangat gotong-royong mengangkat prestasi sekolah," jelasnya.

Abang Zulkifli berkata, pihaknya berhubung dengan agensi dan kementerian berkaitan menangani masalah penyambungan elektrik tergendala di Rumah Melaban sejak dua tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement