Anda di sini

‘Terminator’ ungguli box office Amerika Utara walaupun kutipan jauh dari jangkaan awal

Advertisement
ARNOLD SCHWARZENEGGER & LINDA HAMILTON
ARNOLD SCHWARZENEGGER & LINDA HAMILTON

FILEM ‘Terminator: Dark Fate’ berjaya mengungguli carta box office Amerika Utara pada hujung minggu lepas dengan jumlah kutipan jualan tiket sebanyak AS$29 juta, namun penganalisis memberitahu bahawa jumlah itu amat jauh dari jangkaan awal.

Lebih-lebih lagi apabila filem keenam dan terkini dalam francais yang menyatukan semula bintang asal Arnold Schwarzenegger dan Linda Hamilton dengan pencipta siri James Cameron itu menelan bajet AS$185 juta untuk dibuat.

“Francais filem Hollywood yang bersejarah telah ditamatkan, sekurang-kurangnya untuk sejauh yang nampak pada masa depan,” kata The Hollywood Reporter.

Filem terbitan Paramount itu melihat Sarah Connor (Hamilton) berjuang untuk melindungi seorang gadis muda daripada satu lagi Terminator yang datang dari masa depan.

Kisah seram buku komik yang gelap ‘Joker’, yang kini dalam hujung minggu kelimanya di pawagam, memperolehi AS$13.5 juta untuk menduduki tempat kedua. Joaquin Phoenix berlakon sebagai musuh ketat Batman dalam filem Warner Bros. itu.

Di tempat ketiga adalah filem Disney, ‘Maleficent: Mistress of Evil’ dengan AS$13.1 juta. Filem itu sekali lagi menampilkan Angelina Jolie sebagai ahli sihir yang jahat, dan menambah Michelle Pfeiffer sebagai Permaisuri Ingrith yang licik.

Filem biopik baru ‘Harriet’, mengisahkan pelarian Harriet Tubman dari penghambaan dan usahanya untuk membebaskan hamba-hamba yang lain, mengejutkan penganalisis dengan kejayaannya menduduki tempat keempat dengan AS$11.7 juta.

Ia adalah sambutan yang hebat untuk sebuah drama bersejarah. Filem itu mendapat pengkadaran A+ daripada penonton di CinemaScore, dengan bintangnya aktres British Cynthia Erivo dipuji untuk lakonannya dalam watak utama.

Di tempat kelima adalah filem animasi komputer United Artists, ‘The Addams Family’ dengan AS$8.3 juta. Filem melucukan/menakutkan itu menampilkan barisan pelakon suara seperti Oscar Isaac, Charlize Theron, Snoop Dogg dan Bette Midler.

Melengkapkan 10 filem teratas adalah ‘Zombieland: Double Tap’ (AS$7.4 juta), ‘Countdown’ (AS$5.8 juta), ‘Black and Blue’ (AS$4.1 juta), ‘Motherless Brooklyn’ (AS$3.5 juta), dan ‘Arctic Dogs’ (AS$2.9 juta). — AFP

Advertisement