Anda di sini

Pembayaran oleh LBU kepada beberapa kontraktor Lebuhraya Pan Borneo tertangguh

 
Baru pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Rabu.
Baru pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Rabu.

KUCHING: Pembayaran bagi para kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo yang sepatutnya dibuat oleh syarikat rakan penyampai projek (PDP), syarikat Lebuhraya Borneo Utara (LBU), telah tertangguh selama tiga bulan, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Katanya beliau menerima banyak laporan berhubung kelambatan pelaksanaan projek itu dan ada juga beberapa pakej pembinaan yang nampak tidak akan dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun menurutnya kerja-kerja pembinaan didapati tetap berjalan dengan lancar tanpa banyak masalah, dan para kontraktor terlibat dilihat memahami serta akur dengan pembayaran yang tertangguh itu.

“Para kontraktor memberitahu bahawa ada kelewatan dalam pembayaran tuntutan mereka, secara puratanya kelewatan sekitar tiga bulan,” katanya dalam satu persidangan media di sini pada Rabu.

Sudah tentu sekiranya mereka tidak dibayar pada masanya, bagaimana mereka hendak teruskan kerja dengan baik, dan saya amat bersimpati dengan mereka kerana ia melibatkan jumlah wang yang banyak,” tambahnya.

Baru berkata ketika ini keseluruhan projek pembinaan lebuhraya itu adalah di bawah LBU, dan Kementerian Kerja Raya hanya akan mengambil alih projek berkenaan pada bulan Februari 2020.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa apabila kerajaan mengambil alih projek itu Februari nanti, semua pembayaran kepda kontraktor akan dibuat dalam tempoh masa 30 hari.

Baru berkata beliau ada menerima satu aduan mengenai keadaan jalan yang rosak teruk di satu laluan Lebuhraya Pan Borneo, dan telah mengarahkan kontraktor meninjau serta menambah baik keadaannya, di samping membekalkan barang-barang yang perlu bagi meningkatkan tahap keselamatan buat pengguna laluan berkenaan.

Sementara itu dalam satu kenyataan malam tadi, Baru Bian menggesa kerajaan negeri Sarawak mengkaji semula kaedah mengukur Tanah Adat Bumiputera (NCR) bagi melindungi kepentingan pemilik sebenar tanah berkenaan.

Baru yang juga pengerusi PKR Sarawak berkata ketika ini kerja-kerja ukur NCR dijalankan mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak 1958, yang jelas tidak melindungi kepentingan pemilik sebenar tanah berkenaan, yang dianggap sebagai tanah kerajaan negeri di bawah seksyen itu.

“Tiada pampasan akan dibayar sekiranya kerajaan negeri mengambil tanah itu bagi tujuan kegunaan awam (di bawah kanun berkenaan),” katanya, dan mencadangkan supaya kerja-kerja mengukur dibuat di bawah Seksyen 18 Kanun yang sama. - Bernama