Anda di sini

Anggota perubatan asing maut dibedil di Syria

Advertisement
 Gambar yang dirakam dari udara kelmarin menunjukkan kerosakan teruk susulan pembedilan berterusan dan serangan udara oleh pasukan bersenjata prokerajaan di kampung Kafr Nabl, wilayah selatan Idlib. — Gambar AFP
MUSNAH: Gambar yang dirakam dari udara kelmarin menunjukkan kerosakan teruk susulan pembedilan berterusan dan serangan udara oleh pasukan bersenjata prokerajaan di kampung Kafr Nabl, wilayah selatan Idlib. — Gambar AFP

QAMISHLI: Serangan mortar oleh pasukan tentera pro-Ankara kelmarin telah mengorbankan seorang rakyat Myanmar yang bekerja sebagai jurukamera dan anggota perubatan sebuah kumpulan bukan kerajaan di timur laut Syria, menurut kumpulan tersebut.

Pasukan tentera Turki dan proksi mereka Syria pada bulan lepas telah melancarkan serangan merentasi sempadan terhadap pejuang Kurdis di timur laut Syria yang mengorbankan ratusan orang serta menyebabkan puluhan ribu orang meninggalkan rumah mereka.

Satu gencatan senjata yang ditandatangani Moscow, sekutu utama kerajaan Syria, dan Ankara pada 22 Oktober telah membendung pertempuran namun perbalahan yang sengit berterusan.

Pihak Free Burma Rangers (FBR) menyatakan salah seorang anggotanya terkorban kelmarin dalam serangan mortar oleh pihak tentera Turki atau sekutu Syria mereka.

“Jurukamera dan anggota perubatan kami dari Burma telah terbunuh pada hari ini di utara pekan Tal Tamr,” ketua kumpulan David Eubank menyatakan dalam satu kenyataan.

“Tembakan mortar mengenai bahagian pengumpulan mayat di mana kami berkumpul bagi merawat mangsa yang tercedera,” menurut penduduk veteran Amerika itu.

Seorang anggota kumpulan itu dari Iraq turut tercedera, tambah beliau lagi.

Pihak Syrian Observatory for Human Rights, badan pemerhati yang berpusat di Britain dengan sumber-sumber di dalam Syria, menyatakan serangan berlaku di sebuah kampung bernama Rashidiyya.

Jurucakap Pasukan Tentera Demokratik Syria yang diketuai Kurdis menyatakan pertempuran sedang berlaku di beberapa kawasan berhampiran.

“Pertempuran sedang berlaku di kawasan berhampiran Tal Tamr,” jurucakap SDF Mustefa Bali memberitahu AFP.

Pada bulan lepas Amerika Syarikat mengumumkan ia akan menarik balik pasukan tenteranya dari utara Syria,selepas bertahun-tahun bergantung kepada pihak Kurdis bagi menentang kumpulan pelampau Islamic State

Tindakan Washington telah menimbulkan satu serangan ketenteraan Turki, dan memaksa pihak berkuasa Kurdis yang separuh autonomi bagi mendapatkan satu pemulihan hubungan dengan rejim Damsyik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh AS.

Eubank menubuhkan FBR di Myanmar pada 1997, dengan satu slogan dihasilkan daripada satu kenyataan dalam kitab Injil menyeru kepada orang ramai agar mengajar berita baik kepada golongan miskin dan membebaskan mereka yang tertindas.

Pada awal tahun ini, kumpulan itu membantu untuk membawa keluar ribuan orang yang keluar dari bahagian terakhir di wilayah IS di timur jauh Syria, di mana pihak SDF telah menewaskan kumpulan pelampau dalam pertempuran konvensional. — AFP

Advertisement