Anda di sini

Polis British tangkap tiga lagi susulan kematian 39 pendatang

Advertisement
 Timbalan Ketua Konstabel Pippa Mills dari Polis Essex bercakap di luar balai polis Grays selepas 39 mayat ditemui di dalam trak di Grays, Essex, Britain kelmarin. — Gambar Peter Nicholls/Reuters
TAKLIMAT: Timbalan Ketua Konstabel Pippa Mills dari Polis Essex bercakap di luar balai polis Grays selepas 39 mayat ditemui di dalam trak di Grays, Essex, Britain kelmarin. — Gambar Peter Nicholls/Reuters

LONDON: Polis British yang menyiasat penemuan 39 mayat dalam sebuah trak kelmarin berkata mereka telah menangkap tiga orang lagi, manakala sumber ke-selamatan di Hanoi berkata beberapa mangsa tersebut adalah warga Vietnam.

Kes dahsyat itu telah me-ngejutkan Britain dan menarik perhatian kepada bahaya pemerdagangan manusia.

Polis pada mulanya percaya semua mangsa adalah warga China tetapi kelmarin berkata “gambaran mungkin akan berubah” mengenai identifikasi.

Seorang lelaki Vietnam memberitahu AFP dia bimbang adik perempuannya yang berusia 26 tahun Pham Thi Tra My adalah antara mayat yang dijumpai dan berkata dia telah menghantar pesan menyayat hati kepada ibu mereka sebelum kematiannya.

My meninggalkan Vietnam pada 3 Oktober lalu untuk pergi ke United Kingdom dan Pham Manh Cuong berkata ibu mereka menerima teks pesanan daripadanya hanya beberapa jam sahaja sebelum trak dijumpai di Britain.

“Saya minta maaf mak. Laluan saya ke seberang laut tidak berjaya. Mak, saya begitu menyayangi anda! Saya hendak mati kerana saya tidak dapat bernafas,” katanya dalam pesanan yang dikongsi oleh Human Rights Space yang berpangkalan di Vietnam.

Abangnya mengesahkan kepada AFP bahawa teks pesanan itu adalah tulen.

Timbalan ketua konstabel Essex, Pippa Mills berkata polis tidak akan “membuat spekulasi” mengenai ke-rakyatan mangsa, dan menyifatkannya sebagai “gambaran yang sedang berkembang”.

Pada keseluruhannya, lapan wanita dan 31 lelaki dijumpai mati dalam sebuah treler penyejukan pada Rabu lepas.

Selepas menahan pemandu trak di tempat penemuan – seorang lelaki berusia 25 tahun dari Ireland Utara – kerana disyaki membunuh, polis Essex mengesahkan tiga tangkapan lagi kelmarin.

Seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya ber-usia 38 tahun dari Warrington di barat laut England, “telah ditangkap kerana disyaki berkonspirasi untuk menyeludup manusia dan kerana disyaki melakukan 39 pembunuhan tanpa niat”, kata pasukan polis.

Ia kemudian diumumkan bahawa seorang lelaki berusia 48 tahun dari Ireland Utara telah ditangkap di Lapangan Terbang Stansted, London, kerana disyaki berkonspirasi untuk menyeludup orang dan melakukan pembunuhan tanpa niat.

Bedah siasat pertama dibuat kelmarin manakala penyiasat cuba menentukan bagaimana mereka mati sebelum kerja bermula untuk cuba mengecam mangsa.

Siasatan polis itu merupakan siasatan pembunuhan terbesar di Britain sejak serangan bom bunuh diri di London pada 2005.

Ambulans dipanggil ke sebuah trak yang diletak dalam sebuah zon perindustrian di Grays, ke timur London, pada awal Rabu lepas tetapi semua orang di dalam sudah pun mati.

Trak tersebut tiba di Purfleet yang berdekatan di muara Sungai Thames dengan menaiki feri dari pelabuhan Zeebrugge, Belgium, lebih sejam sebelum kru ambulans menghubungi polis pada jam 1.40 pagi.  

Sebelas mayat pertama dikeluarkan dari treler ber-kenaan pada Khamis lepas dan dibawa ke rumah mayat sebuah hospital berdekatan.

Tiga lagi ambulans swasta meninggalkan tempat pe-nemuan kelmarin.

Bedah siasat akan cuba menentukan bagaimana mangsa mati dan pengecaman rasmi akan menyusulinya.

Sumber keselamatan Vietnam di Hanoi yang enggan dikenali memberitahu AFP: “Kami sedang memantau kes itu dengan dekat. Terdapat kemungkinan bahawa warga Vietnam adalah antara mangsa-mangsa.”

BBC berkata ia sudah bercakap kepada keluarga tiga orang Vietnam yang bimbang ahli keluarga mereka mungkin telah menaiki trak terbabit.

Seorang jurucakap bagi kedutaan Vietnam di London berkata mereka telah dihubungi sebuah keluarga di Vietnam yang mendakwa anak perempuan mereka telah hilang “sejak lori itu dijumpai”.

Pertanyaan telah dibangkitkan tentang masa mangsa memasuki treler itu.

Perjalanan ke Purfleet dari Zeebrugge, salah sebuah pelabuhan paling sibuk di dunia untuk kargo dalam trak, memakan masa sembilan hingga 12 jam.

Penyiasat Belgium sedang berusaha untuk menentu-kan dari mana treler itu tiba sebelum ia sampai ke pelabuhan.

“Kita ada cara untuk me-ngetahui semula laluan kontena tetapi ia tidak akan diketahui serta-merta,” kata Eric Van Duyse, selaku jurucakap pejabat pendakwa raya persekutuan Belgium, kepada AFP.

Orang yang tinggal dekat pelabuhan di Purfleet berkata pendatang asing tanpa izin merupakan sesuatu yang lumrah.

“Ia adalah magnet bagi pendatang asing tanpa izin,” kata Janet Lilley, 61.

“Orang akan berjalan ke-luar dari limbungan, mema-suki van dan selesai, mereka dipandu ke tempat lain.”

Lee Tubby, 45, yang tinggal di seberang pelabuhan, berkata dia pernah melihat orang “naik keluar dari bahagian atas dan dari bahagian belakang” trak.

“Malah kami ada orang yang keluar dari pelabuhan dan mengetuk pintu untuk meminta kasut, meminta air,” katanya. — AFP

Advertisement