Anda di sini

Kes mayat diikat batu: Keputusan bedah siasat mendapati mangsa mati dijerut - Polis

Advertisement
Gambar fail menunjukkan polis mengangkat mayat mangsa dipercayai dibunuh di jeti pada 15 Oktober.
Gambar fail menunjukkan polis mengangkat mayat mangsa dipercayai dibunuh di jeti pada 15 Oktober.

SIBU: Keputusan bedah siasat ke atas mayat seorang lelaki yang dijumpai di celah kapal minyak di sebuah jeti persendirian di Jalan Lanang dekat sini pada 14 Oktober lalu mendapati puncà kematian adalah akibat dijerut.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, keputusan itu diperoleh dalam bedah siasat yang bermula dari pukul 9 malam sehingga 12 tengah malam tadi.

Katanya, pakar perubatan juga mengesahkan identiti mangsa sebagai Markus Binsan @ Junai, 29, yang berasal dari Fatu Kolo, Timur Timor, Indonesia.

"Punca kematian mangsa adalah akibat dijerut dan bedah siasat terhadap mayat itu juga mendapati dua tulang rusuk kiri dan dua tulang rusuk kanan patah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stanley berkata, pemeriksaan luaran juga menunjukkan tanda kecederaan akibat trauma benda tumpul yang tertumpu pada muka dan leher.

"Pemeriksaan dalaman mendapati bahawa tulang leher iaitu tulang hyoid mengalami patah berganda serta terdapat lebam pada struktur leher dan ianya selaras akibat jerutan yang dialami oleh si mati. 

"Rumusan daripada bedah siasat itu menjuruskan polis percaya mangsa bukan mati lemas," kata Stanley.

Sebelum ini, polis percaya mayat yang dijumpai diikat batu di celah kapal minyak di sebuah jeti di Jalan Lanang baru-baru ini merupakan mangsa pembunuhan.

Timbalan Pesuruhjaya Ketua Polis Sarawak Dev Kumar berkata kes tersebut kini diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Seorang saksi wanita telah dibawa ke balai polis di Sibu dan disoal siasat. Kami telah menyoal saksi yang melihat empat orang lelaki bergaduh dengan mangsa di atas sebuah kapal nelayan pada malam 9 Okt lalu," katanya Dev dipetik sebagai berkata.

Menurut Dev, wanita itu melihat pergaduhan itu tetapi tidak melihat suspek membuang mangsa ke dalam sungai.  

"Kesemua mereka adalah warga asing. Mereka telah melarikan diri dari Sibu selepas kejadian itu. Kami mempunyai sebab yang kukuh untuk mempercayai bahawa mereka mungkin telah kembali ke negara mereka," katanya Dev lagi. 
 

  • oleh
  • Advertisement