Anda di sini

Sarawak dilitupi Hutan

Advertisement
 Len menyempurnakan gimik perasmian majlis dengan melakukan upacara menanam pokok.
HIJAUKAN BUMI: Len menyempurnakan gimik perasmian majlis dengan melakukan upacara menanam pokok.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah berjaya mengekalkan litupan hutan atau 'forest cover' sebanyak 63 peratus daripada keluasan negeri ini iaitu bersamaan dengan 7.8 juta hektar daripada 12.4 juta hektar.

Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Jack Liam berkata, pada masa yang sama kerajaan negeri turut berjaya mewartakan seluas 4.3 juta hektar sebagai Hutan Simpan Kekal atau 'Permanent Forest Estate' (PFE) di seluruh negeri.

"Sebagai tambahan, seluas 0.8 juta hektar kawasan telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (Totally Protected Areas) yang meliputi taman negara, rizab semula jadi dan santuari hidupan liar.

"Seluas 621,000 hektar kawasan lesen 'Forest Management Unit' telah dipersijilkan di bawah Malaysia Timber Certification Scheme (MTCS) yang juga Pertubuhan Pemuliharaan Alam Sekitar (PEFC) iaitu sebuah badan persijilan hutan yang terbesar di dunia, yang bermaksud hutan yang diurus secara berkekalan pada standard tertinggi dan mematuhi kriteria yang ketat," kata Jack.

Beliau berkata demikian pada Majlis Larian Forest Fun Run Sarikei anjuran JHS sempena 100 Tahun Jabatan Hutan Sarawak di Dewan Serba Guna Kampung Seberang Sarikei, semalam.

Seramai 800 peserta menyertai program larian ini dan ia juga merupakan jumlah penyertaan terbanyak berbanding program larian serupa yang telah dianjurkan sebelum ini.

Menurut Jack, industri perhutanan dan perkayuan di negeri ini telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 100,000 orang.

Katanya hasil pengeluaran hutan dan balak adalah penyumbang besar hasil kepada sumber pendapatan kerajaan negeri pada purata RM500 juta setahun.

"Justeru, dalam usaha memulihara, mengekal dan memastikan hutan di negeri ini kekal terpelihara dan mampu melaksanakan segala fungsinya untuk generasi kini dan akan datang, kami mempelawa semua pihak untuk berganding bahu menjaganya.

"Pemuliharaan adalah tanggungjawab kita bersama dan gabungan penyertaan akan menjadi lebih baik dan kreatif dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi, sektor awam, syarikat, institusi pendidikan dan masyarakat setempat," ujar Jack.

Turut hadir menjayakan dan memberikan sokongan padu terhadap program ini ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Abang Mohd Porkan Abang Budiman, Pegawai Eksekutif Jaya Tiasa Holding Berhad Datuk Wong Sie Young dan Pegawai Hutan Sarikei Jonathan Alek.

  • oleh
  • Advertisement