Anda di sini

400 pelajar jayakan Program Diskusi Raja Berperlembagaan

Advertisement
 Sebahagian pelajar yang menjayakan Program Diskusi Raja Berperlembagaan yang diadakan di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, kelmarin, bergambar kenangan bersama Supian, Zamri, Mohd Azri dan Mohd Isa.
SEMANGAT: Sebahagian pelajar yang menjayakan Program Diskusi Raja Berperlembagaan yang diadakan di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, kelmarin, bergambar kenangan bersama Supian, Zamri, Mohd Azri dan Mohd Isa.

LABUAN: Kira-kira 400 pelajar menjayakan Program Diskusi Raja Berperlembagaan yang diadakan di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), kelmarin.

Mereka terdiri daripada mahasiswa UMSKAL dan pelajar Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan.

Program anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan itu dirasmikan pengarahnya, Supian Musa yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Mohd Sukari Abd Hamid.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik.

Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Wahidah Abdullah.

Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Prof Madya Dr Mohd Azri Ibrahim diundang selaku pakar rujuk manakala Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Acara, Jabatan Penerangan Malaysia, Mohd Isa Jasin bertindak sebagai moderator.

Ahli panel pula terdiri daripada pemimpin Majlis Belia Labuan (MBL) dan mahasiswa UMSKAL.

Menurut Supian, Wilayah Persekutuan Labuan sangat bertuah kerana dipilih antara empat negeri yang menganjurkan program tersebut di samping Melaka, Kuala Lumpur dan Pahang.

Katanya, program yang julung kalinya diadakan itu membincangkan tajuk ‘Jati Diri Bangsa Malaysia menyuburkan Demokrasi Berparlimen dan Penyatuan Kaum Teras Negara Bangsa’.

Tambah beliau, antara tujuan program itu diadakan adalah untuk melihat corak pemikiran pemimpin masa depan negara dengan melihat sejauh mana pandangan, harapan dan keyakinan belia dan pelajar IPTA terhadap Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Melalui program Diskusi Raja Berperlembagaan anjuran Jabatan Penerangan WP Labuan ini, kita berharap akan dapat memupuk dan menyemai semangat positif kepada golongan belia dan pelajar terhadap Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di negara ini khususnya di Labuan,”katanya.

Supian juga yakin golongan muda akan mampu untuk mengubah destinasi kehidupan untuk memajukan keluarga, organisasi dan negara.

“Semangat yang kental, berani, berkreativiti fan berinovasi tinggi boleh mengubah corak kehidupan,”katanya.

 Supian (lima kanan), Zamri (empat kiri), Mohd Azri (empat kanan), Mohd Isa (tiga kiri) dan Wahidah (tiga kanan) bersama ahli panel dari Majlis Belia Labuan.
PENGHARGAAN: Supian (lima kanan), Zamri (empat kiri), Mohd Azri (empat kanan), Mohd Isa (tiga kiri) dan Wahidah (tiga kanan) bersama ahli panel dari Majlis Belia Labuan.

Sementara itu, Prof Dr Murnizam mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan kerana sudi memilih UMSKAL sebagai venue utama program tersebut dan akan terus memberikan kerjasama kepada Jabatan Penerangan dan agensi kerajaan yang lain untuk menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada mahasiswa.

“UMSKAL akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat setempat,”katanya.
 

Advertisement