Anda di sini

Kerajaan persekutuan diminta bayar balik 50 peratus kos pembinaan Jambatan Batang Lupar kepada Sarawak

Advertisement
ROHANI
ROHANI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) mesti mengotakan janji dan membuat bayaran balik 50 peratus kos pembinaan Jambatan Batang Lupar kepada kerajaan negeri Sarawak.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata seperti dipersetujui dengan kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN), 50 peratus daripada kos pembinaan jambatan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM800 juta akan dibiayai kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun ujarnya, selepas berlaku peralihan kuasa Mei 2018, kerajaan persekutuan sekarang di bawah PH tidak mengotakan janji untuk membina jambatan berkenaan malah projek tidak diteruskan.

Oleh demikian katanya, demi kesejahteraan rakyat Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kerajaan negeri dalam Belanjawan Sarawak 2019 mengumumkan pembinaan jambatan sepanjang 5.1 kilometer itu.

"Sepatutnya Kerajaan Persekutuan yang bersetuju dan meluluskan pembiayaan 50 peratus daripada kos pembinaan ini.

"Masih menggesa di sini agar Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan mesti mengotakan janji dan mesti membuat bayaran balik 50 peratus kos pembinaan Jambatan Batang Lupar kepada Kerajaan Negeri Sarawak," katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) di Parlimen pada Rabu.

Menurutnya pembayaran balik itu akan digunakan Sarawak untuk meneruskan pembangunan infrastruktur di Sarawak meliputi rangkaian jalan-jalan pesisir dan Jalan Utama Kedua yang memerlukan kos tinggi.

Rohani berkata Belanjawan 2019 hingga 2020 saya tidak nampak janji ini dikotakan dan bagi rakyat tempatan merupakan janji yang tidak ditunaikan serta menidakkan pembangunan lebih sejahtera kepada rakyat Sarawak.

"Di mana yang dikatakan kemakmuran bersama," soalnya sambil menambah Sarawak tidak mendapat agihan peruntukan yang adil dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata janji-janji semasa penubuhan Malaysia iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus menjadi azimat yang mesti diteruskan walaupun apa jua keadaan.

Rohani berkata Belanjawan 2020 tidak memperuntukkan dana bagi menambah baik semua jelapang padi di Malaysia termasuk Jelapang Padi Batang Lupar yang masih dalam pembangunan.

Menurutnya, semua jelapang padi negara dijaga dan sentiasa ditambah baik untuk memastikan tahap sara diri (SSL) sebanyak 70 peratus atau lebih dikekalkan.

"Jelapang Padi Batang Lupar hanya diwujudkan pada 2014, sebagai teraju utama jelapang padi negara yang baharu dan pertama di Sarawak bagi menampung SSL negara sebanyak 30 peratus.

"Kalau Jelapang Padi Batang Lupar mula produksi dengan sasaran 30 peratus SSL, bermakna Malaysia tidak perlu mengimport beras dari luar," katanya.

Projek Jelapang Padi Batang Lupar jika diteruskan dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada pesawah-pesawah di kawasan Stumbin, Bijat, Gran, Entulang, Seduku serta Lingga-Banting.
 

  • oleh
  • Advertisement