Anda di sini

Swasta boleh berperanan bantu pembangunan sukan

Advertisement
 Phoong menyampaikan cenderahati dan jemputan kepada Shafie (kanan).
JEMPUT: Phoong menyampaikan cenderahati dan jemputan kepada Shafie (kanan).

KOTA KINABALU: Pihak swasta boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan di negeri ini menerusi tajaan.

Sehubungan dengan itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe berharap, kementeriannya akan dapat bekerjasama dengan syarikat swasta bagi membantu pembangunan persatuan dan atlet negeri ini.

"Bekerjasama dengan syarikat swasta adalah antara langkah yang akan kita ambil bagi membantu pembangunan sukan. Saya harap akan ada berita baik dari syarikat swasta dalam perkara ini," katanya.

Phoong berkata demikian selepas mengetuai rombongan kementeriannya melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini semalam.

Kunjungan hormat itu adalah bagi memberi taklimat dan seterusnya menjemput Ketua Menteri menghadiri majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah (ASNS) 2017-2018 yang akan diadakan di salah sebuah hotel di sini pada 22 Oktober.

Majlis ASNS adalah acara dwi-tahunan bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada warga sukan negeri ini yang cemerlang.

ASNS itu melibatkan kos keseluruhan RM60,000 termasuk untuk pemberian insentif.

Sebanyak 14 anugerah akan disampaikan termasuk tiga anugerah utama iaitu Tokoh Sukan, Olahragawan dan Olahragawati Terbaik.

Anugerah lain adalah Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Pasukan Lelaki Terbaik, Pasukan Wanita Terbaik, Persatuan Sukan Terbaik, Jurulatih Terbaik, Kepimpinan Sukan, Anugerah Khas, Wartawan Terbaik, Olahragawan PARA dan Olahragawati PARA.

Pemenang Olahragawan dan Olahragawati masing-masing akan menerima RM5,000 manakala penerima lain RM1,000.

"Majlis ASNS kali ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan," kata Phoong.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin adalah tetamu kehormat majlis ASNS.

Turut bersama dalam kunjungan homat semalam ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib, Setiausaha Tetap KBSS Mohd Yusrie Abdullah, Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) Terrance Edward Pudin dan Pengarah MSN Sabah Mohd Asneh Mohd Noor.

  • oleh
  • Advertisement