Anda di sini

Seramai 126 peserta berentap kejohanan wushu

Advertisement
 Ding (lapan kiri) bersama tetamu menyempurnakan perasmian kejohanan wushu jemputan sekolah menengah dan rendah peringkat negeri di Sarikei semalam.
SELAMAT BERSUKAN: Ding (lapan kiri) bersama tetamu menyempurnakan perasmian kejohanan wushu jemputan sekolah menengah dan rendah peringkat negeri di Sarikei semalam.

SARIKEI: Seramai 126 peserta berentap pada kejohanan wushu jemputan sekolah menengah dan rendah mengikut umur peringkat negeri Sarawak 2019 bermula pagi semalam.

Sebanyak enam sekolah menengah dan 11 sekolah rendah menyertai kejohanan diadakan di Dewan Sentral Sarikei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata melibatkan diri dalam aktiviti sukan mampu melahirkan modal insan berjiwa kental, berkualiti tulen serta mempunyai ketahanan diri mantap.

“Program dan aktiviti sukan merupakan landasan terbaik untuk mendidik masyarakat berdisiplin serta memupuk gaya hidup sihat.

“Melalui latihan konsisten, sukan juga mampu membentuk seorang individu cergas dan patuh terhadap peraturan.

“Secara tidak langsung program ini mampu membentuk individu menjadi seorang atlet berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri tinggi,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada kejohanan itu.

Kejohanan ini anjuran Kelab Wushu Jelutong Sarikei dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei sempena Bulan Sukan Negara (BSN).

Menurut Ding, aktiviti sukan dapat memberi pendidikan bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha bersungguh-sungguh.

“Aktiviti seperti ini merupakan benteng seseorang daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak sihat dan kita mampu membangunkan modal insan berkualiti.

“Kini kerajaan menyediakan pelbagai pelan dan perancangan meningkatkan penyertaan golongan muda agar menceburi bidang sukan.

“Kerajaan sentiasa komited memajukan dan meningkatkan bidang ini sehingga ke tahap profesional dan berkualiti.

“Kita juga mahu negara terkenal dengan kelahiran atlet-atlet bermutu tinggi dan mempunyai daya saing terbaik,” jelasnya.

Sekolah-sekolah menengah mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony Sarikei, SMK Kanowit, SMK Tinggi Sarikei, SMK Lanang Sibu, SMK Bandar Sarikei dan SMK Rosli Dhoby, Sibu.

Sekolah rendah ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kiew Mang Sarikei, SJKC Yee Ting Kanowit, SJKC Wah Man Sarikei, SJK ST Martin Sarikei, SK Methodist Angelo-Chinese Sarikei, SJKC Sze Lu Sarikei, SJKC Kwang Chen Sarikei, SK Hulu Majau Kanowit, SJKC Su Lee Sarikei, SK ST Anne Sarikei dan SJKC Dung San.

Hadir sama Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Mohammad Arbi Rosli.

  • oleh
  • Advertisement