Anda di sini

Polis Sarawak catat rampasan syabu terbesar sejak 2017

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditangkap susulan penemuan dadah jenis syabu seberat 10.580 kilogram dianggarkan bernilai RM529,000 dalam satu operasi di Jalan Rock, di sini Khamis lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata dadah tersebut ditemui di dalam beg galas dibawa suspek, 32, yang berasal dari Balai Karangan, Sekayam, Kalimatan Barat.

Menurutnya, operasi diketuai ASP Abang Zulkernaen Abang Kerni itu turut menjumpai pil Eramin 5 sebanyak 980 biji yang dianggarkan bernilai RM14,700, juga di dalam beg galas yang sama.

"Ini adalah rampasan terbesar dadah jenis syabu sejak 2017 dan dipercayai dadah ini hanya 'transit' di Sarawak yang kemudian akan diseludup ke negara jiran.

"Siasatan awal setakat ini mengesyaki dadah ini dibawa masuk daripada Semenanjung Malaysia," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Dev (empat kanan) bersama Hasnir (tiga kiri) dan Aswandy (tiga kanan) menunjukkan bungkusan syabu yang dirampas daripada suspek.
Dev (empat kanan) bersama Hasnir (tiga kiri) dan Aswandy (tiga kanan) menunjukkan bungkusan syabu yang dirampas daripada suspek.

Tambahnya, suspek yang kini masih ditahan reman disiasat di bawah Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati jika didapati bersalah.

"Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952, berikutan hasil saringan awal air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Dev selain itu turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di atas kejayaan tersebut.

"Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kita sekarang sedang memburu 'jerung-jerung' dadah ini dalam usaha kita membersihkan negeri ini dari ancaman dadah yang merupakan musuh utama negara.

"Justeru kita sentiasa mengharapkan kerjasama dan maklumat daripada orang ramai dalam membantu kita bersama-sama memerangi dadah," katanya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Ketua JSJN Sarawak Superintenden Hasnir Abdul Hamid dan Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis.
 

  • oleh
  • Advertisement