Anda di sini

Latihan hadapi bencana elemen penting pasukan OKK

Advertisement
 Jaujan (enam kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama johan Latihan Pemantapan Kawad OKK 2019.
KENANGAN: Jaujan (enam kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama johan Latihan Pemantapan Kawad OKK 2019.

KOTA KINABALU: Latihan menyelamat mangsa serta kemahiran memadam api adalah elemen penting kepada ahli-ahli pasukan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) agar mampu sentiasa bersiap siaga apabila berlakunya bencana.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, latihan-latihan berkenaan secara langsung memberi pendedahan kepada pasukan OKK dalam menghadapi situasi kecemasan yang sebenar.

"Pekerja atau kakitangan yang dilatih kaedah mencegah dan berhadapan dengan bencana kebakaran membolehkan mereka dapat menjalankan kerja secara sistematik, selamat serta efisyen.

"Sudah tentu, dengan adanya pengetahuan tentang cara-cara mencegah kebakaran ini sekurang-kurangnya ianya dapat mengurangkan jumlah kemalangan yang semakin meningkat terutamanya di premis dan bangunan berisiko," katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian Penutupan dan Makan Malam Sempena Latihan Pemantapan Kawad OKK 2019, di sini kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Shafie berkata, program seumpamanya adalah sangat baik selain memberikan impak positif kepada para peserta dan organisasi yang terlibat.

Katanya, setiap institusi ada keperluan untuk terlibat dalam memperkukuhkan aspek keselamatan kebakaran di premis-premis masing-masing.

Menurutnya, usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam melaksanakan tugas untuk memberi kesedaran keselamatan kebakaran kepada pemilik dan penghuni premis serta bangunan amat berkesan dengan penyertaan yang ramai dari kalangan organisasi dalam negeri ini.

"Lebih menarik lagi program ini diadakan setiap dan acara ini adalah satu-satunya aktiviti yang boleh mengumpulkan semua ahli-ahli OKK yang ada di negeri ini.

"Sebagai seorang ahli pasukan OKK yang terlatih, anda semua secara langsung boleh menyumbang kepada hasrat kerajaan dalam mencapai Wawasan Negara," katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Kamarulzaman Malik Abdullah.
 

  • oleh
  • Advertisement