Anda di sini

Jinirol, Zuraidah johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lahad Datu

Advertisement
 Jinirol (tiga dari kiri) dan Zuraidah (tiga dari kanan) bersama pemenang lain dalam pertandingan itu.
PEMENANG: Jinirol (tiga dari kiri) dan Zuraidah (tiga dari kanan) bersama pemenang lain dalam pertandingan itu.

LAHAD DATU: Jinirol Bensali dan Zuraidah Bocheng muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lahad Datu bagi 2019, di Dewan Tun Mustapha, di sini, semalam.

Kemenangan mereka melayakkan mereka untuk membawa cabaran daerah ke peringkat negeri dijangka di Kota Kinabalu, bulan depan.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM1,000, piala, pakej tajaan menunaikan umrah dan sijil yang disempurnakan Pegawai Daerah Dr Mohd Ayub Yaakob.

Jinirol memperoleh markah 80 peratus manakala Zuraidah mendapat 58 peratus.

Hadir sama, Timbalan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah Brig Jen Hamzah Ali, Pegawai Pembangunan Masyarakat Lahad Datu Salsagap Pg Masdal, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Silam Abdul Hakim Gulam Hassan dan Penolong Kanan Pengarah Kastam dan Eksais Diraja Malaysia Daerah Lahad Datu Saidin Jalaluddin.

Naib johan qari dimenangi Zamani Zainal Abidin dan ketiga Jamaluddin Toba manakala bagi qariah, naib johan dimenangi Aishah Abdullah dan ketiga Dari Sideng.

Mohd Ayub mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Mohamaddin Ketapi ketika berucap merasmikan program itu menyeru agar umat Islam terus menghayati bacaan al-Quran.

Menurutnya, al-Quran menyampaikan kebaikan dan seruan amal ibdah untuk diamalkan dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

"Penghayatan al-Quran akan mendorong penguasaan ilmu yang  bermanfaat agar dapat membentuk generasi bangsa yang maju, bersatu padu dan cemerlang sesuai dengan tema sambutan program ini 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera'," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement