Anda di sini

Jaringan King nafi kemenangan Sepanyol

Advertisement
 King (kanan) ceria selepas menjaringkan gol penyamaan Norway menerusi tendangan penalti lewat permainan di Oslow, Norway kelmarin. — Gambar AFP
GOL PENTING: King (kanan) ceria selepas menjaringkan gol penyamaan Norway menerusi tendangan penalti lewat permainan di Oslow, Norway kelmarin. — Gambar AFP

OSLO, Norway: Tendangan penalti Joshua King pada minit ke-94 menafikan kemenangan Sepanyol apabila Norway mengikat kedudukan 1-1 di sini, memaksa juara tiga kali Eropah itu terpaksa menunggu untuk mengesahkan kelayakan ke Euro 2020 Sabtu lepas.

Kemenangan akan mengesahkan tempat ke Euro 2020 buat skuad kendalian Roberto Moreno, terutama sekali jika Romania gagal menewaskan Faroe Islands atau Malta mengejutkan Sweden.

Tetapi Romania menewaskan Faroes Island 3-0 dan Sweden membelasah Malta 4-0 sementara gol penyamaan lewat King bermakna Sepanyol perlu menewaskan Sweden di Solna Selasa ini untuk mengesahkan kelayakan dengan berbaki dua perlawanan.

Sepanyol mendahului Kumpulan F dengan kelebihan lima mata berbanding Sweden dan berbaki tiga perlawanan sementara Romania kurang satu lagi mata di belakang Sweden.

Norway masih berpeluang untuk menamatkan saingan di dua tempat teratas dan layak selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dari enam perlawanan, kurang empat mata di belakang Sweden menjelang perlawanan menentang Romania, Faroes Island dan Malta.

“Ia amat menyakitkan apabila hilang dua mata pada saat akhir. Ia sukar menentang sebuah pasukan yang tahu mereka akan tersingkir dari saingan jika tewas,” kata kapten Sepanyol, Sergio Ramos, yang memecah rekod Iker Casillas sebagai pemain dengan penampilan paling banyak bersama Sepanyol – 168 kali.

“Kami melihat ia sebagai satu perlawanan yang penting untuk menang supaya kami mengesahkan kelayakan tetapi kami akan mengharungi baki perlawanan dengan tenang dan yakin.”

Ia adalah keputusan seri yang pertama Sepanyol dalam kempen kelayakan di Eropah sejak seri 1-1 di Iceland pada bulan September 2007, dan menamatkan rekod bersih kemenangan mereka dalam kumpulan.

Sepanyol bermula garang dan hampir membuka jaringan seawal minit pertama apabila penjaga gol Norway, Rune Jarstein menepis cubaan Mikel Oyarzabal.

Tetapi Norway, yang beraksi tanpa penyerang remaja, Erling Braut Haaland, mula mengimbangi permainan dan tidak bernasib baik diberikan penalti selepas Ramos mengasari King dalam kotak penalti dan tandukan penyerangnya, Omar Elabdellaoui terlalu dekat dengan penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga.

Norway beraksi lebih baik dalam separuh masa pertama tetapi Elabdellaoui mensia-siakan satu lagi peluang terbaik sebelum Sepanyol membuka jaringan pada awal separuh masa kedua apabila Saul Niguez menyempurna umpanan Sergio Busquets.

Norway hampir mengikat kedudukan beberapa saat kemudian tetapi tandukan King tersasar.

Sepanyol hampir menambah jaringan tetapi rembatan Fabian Ruiz dari jarak jauh hanya menggegar palang gol.

Norway, yang berharap untuk layak ke kejohanan pertama mereka sejak Euro 2000, terus mengasak untuk mencari gol penyamaan dengan cubaan Ole Selnaes dihadang Saul sebelum satu lagi rembatan King melambung tinggi. — AFP

Advertisement