Anda di sini

Beban unjuran hasil diuji - Perbendaharaan

Advertisement
LIM

KUALA LUMPUR: Bebanan unjuran hasil Belanjawan 2020 sudah diuji, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan menyediakan bajet berdasarkan unjurannya sejak dua tahun lepas, dan berkeupayaan untuk mengekalkannya untuk tahun depan.

"Jika terdapat sebarang kontigensi, sudah pasti, kami akan membuat semakan perlu, namun buat masa ini - tidak! Ia sudah melalui ujian stres," katanya kepadsa pemberita pada Forum Belanjawan 2020, di sini hari ini.

Dalam ucapan belanjawannya minggu lepas, Lim berkata sekiranya persekitaran luaran yang lebih buruk daripada jangkaan, kerajaan bersedia untuk mengambil langkah-langkah kontingensi untuk memberi sokongan atau rangsangan kepada pertumbuhan.

Dalam Tinjauan Ekonomi 2020, Kementerian Kewangan (MoF) berkata hasil kerajaan persekutuan dijangka merosot sebanyak 7.1 peratus kepada RM244.5 bilion pada 2020.

"Bagaimanapun, selepas tidak memasukkan dividen istimewa sekali daripada Petronas dalam anggaran yang disemak semula pada 2019, pendapatan dijangka meningkat 4.8 peratus," katanya.

Hasil cukai akan terus menjadi penyumbang utama hasil kerajaan persekutuan pada 2020, dengan jumlah kutipan sebanyak RM189.9 bilion.

MoF berkata hasil cukai kepada peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjurkan kekal stabil pada 11.8 peratus, manakala kutipan daripada cukai langsung dianggarkan berkembang 5.2 peratus kepada RM142.7 bilion, atau 75.1 peratus daripada jumlah hasil cukai.

Sebahagian besar kenaikan ini disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan korporat dan pendapatan individu yang lebih baik, masing-masing sebanyak RM75.5 bilion dan RM37.4 bilion. - Bernama

Advertisement