Anda di sini

Tidak realistik, Sarawak masih dianak tiri: PML

Advertisement
MOHAMAD
MOHAMAD
EKIT
EKIT

LIMBANG: Belanjawan 2020 yang dibentangkan kelmarin tidak realistik kerana Sarawak masih dianaktirikan apabila tidak mendapat banyak suntikan dana walaupun kedudukan negeri ini lebih besar berbanding Sabah dan hampir seluas Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar berkata, tidak banyak kejutan dan perbezaan antara belanjawan lepas memandangkan Sarawak masih terpinggir daripada dana yang diperuntukkan.

“Sudah diagak Belanjawan 2020 tidak banyak bezanya dengan belanjawan lepas kerana Sarawak tidak mendapat banyak suntikan dana berbanding dengan Sabah walaupun dari segi geografi, negeri ini adalah terbesar di Malaysia.

“Malah, belanjawan ini dilihat hanya untuk ‘menyedapkan’ hati rakyat Sarawak sahaja,” katanya ketika dihubungi media semalam.

Mohamad berkata, meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyatakan kesungguhan untuk mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak melalui pelbagai ‘goodies’ untuk kedua-dua negeri menerusi Belanjawan 2020, namun terdapat perbezaan besar dana antara kedua-dua negeri terbabit.

Kelmarin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion bagi tahun hadapan.

Mohamad menjelaskan lagi, pengagihan dana pada belanjawan sama juga kurang seimbang memandangkan Sarawak masih memerlukan banyak pembangunan.

“Kita berasa Sarawak masih terpinggir dan dianaktirikan dari arus belanjawan yang diperuntukan kerana tidak menikmati banyak peruntukan berbanding di Sabah.

“Adalah menjadi harapan kita agar PH memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada  Sarawak memandangkan negeri ini masih berdepan kekangan komunikasi di luar bandar,” jelasnya.

Kerajaan PH katanya, perlu melihat semula peruntukan belanjawan secara holistik bagi membolehkan  infrastruktur luar bandar dapat diperkasakan.

Beliau turut kecewa kerana organisasi, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)   tidak diberikan dana meskipun mereka berperanan penting dalam pembangunan negara termasuk memberi pertambahan dana untuk usahawan Bumiputera.

Sementara itu, Penghulu Ekit Awang menyifatkan belanjawan kelmarin sebagai tidak adil bagi rakyat Sarawak kerana kurang mendapat dana berbanding Sabah.

Beliau mahu kerajaan PH komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa Dua seperti yang dinantikan rakyat sebelum ini.

Menurutnya lagi, Sarawak sebuah negeri luas yang masih memerlukan banyak pembangunan terutama di luar bandar.

“Kita bersyukur kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terus berusaha mencari dana untuk membangunkan Sarawak tanpa bergantung sepenuhnya dengan kerajaan persekutuan, walaupun pada dasarnya Sarawak memang mengharapkan lebih banyak peruntukan daripada mereka untuk tujuan ini,” katanya lagi.

Advertisement