Anda di sini

Belanjawan 2020 diharap dapat memperkasakan TVET di Sarawak

Advertisement
Jamaliah ditemani Abdullah ditemui pemberita selepas Program 'Outreach' Politeknik dan Kolej Komuniti di Stadium Tertutup Kota Samarahan
Jamaliah ditemani Abdullah ditemui pemberita selepas Program 'Outreach' Politeknik dan Kolej Komuniti di Stadium Tertutup Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada Jumaat lalu diharap dapat memperkasakan bidang pendidikan kemahiran di negeri ini dalam usaha mempertingkatkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). 

Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Jamaliah Ahmad berkata, warga pendidik latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negeri ini amat mengalu-alukan belanjawan yang diumumkan itu khususnya untuk pengajian dalam bidang kemahiran di negara ini.

"Saya anggap ia adalah usaha yang sangat dititikberatkan dan pertimbangan kerajaan dalam membangunkan tenaga kerja di Malaysia pada masa hadapan dalam menghadapi IR4.0.

"Kami sebagai warga pendidik TVET khususnya mengambil positif terhadap belanjawan ini dengan harapan lebih banyak lagi program dan kemudahan diberi tumpuan oleh kerajaan kepada penduduk di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah sempena Program 'Outreach' Politeknik dan Kolej Komuniti di Stadium Tertutup Kota Samarahan hari ini. 

Tambah Jamaliah, Belanjawan 2020 itu juga diharap dapat dinikmati pelajar TVET yang berpotensi di negeri ini.

"Belanjawan ini menyeluruh dari segi pelajar, pensyarah dan infrastruktur termasuk pembangunan kurikulumnya," jelasnya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, program itu dianjurkan bagi menarik minat belia khususnya pelajar tingkatan empat, lima dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang pendidikan TVET.

"Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mengadakan promosi program-program yang ditawarkan oleh Politeknik dan Kolej Komuniti kepada masyarakat di sekitar Kuching dan Samarahan.

"Antara program yang ditawarkan di Politeknik dan Kolej Komuniti ialah program sepenuh masa berbentuk sijil dan diploma dalam bidang kemahiran TVET," katanya.

Program itu merupakan usaha Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti Santubong dan Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Kuching Sarawak dengan kerjasama Adabi (Stasuria Enterprise Sdn Bhd) yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu.

Selain itu, pelbagai aktiviti dan pertandingan turut diadakan sepanjang program dua hari itu antaranya, Ratu Kebaya, Futsal, e-Sport, pameran dan sebagainya.

Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Santubong Abdullah Latep Mustapha, Pegawai Jualan Stasuria Enterprise Sdn Bhd Hasbi Chee dan tetamu kehormat lain.
 

Advertisement