Anda di sini

Warga emas aset penting perlu kekal cergas

Advertisement
 Warga hospital bersama- sama  tetamu jemputan merakam gambar kenangan  di Auditorium Utama, HQE.
ALBUM: Warga hospital bersama- sama tetamu jemputan merakam gambar kenangan di Auditorium Utama, HQE.

KOTA KINABALU: Warga emas merupakan aset penting kepada negara kerana mereka memiliki kepakaran, pengalaman, dan ilmu yang mampu mempengaruhi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. William Gotulis  berkata, usia emas bukanlah titik akhir bagi mereka untuk terus menyumbang tenaga dan idea kerana kemahiran yang mereka miliki sukar dicari ganti serta mampu mempengaruhi kelangsungan kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Katanya, jumlah warga emas di Malaysia sentiasa bertambah setiap tahun dan berpandukan kepada takrifan yang dibuat di 'World Assembly On Ageing 1982' di Vienna, warga emas ditakrifkan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
 
"Setiap warga emas bukan saja harus prihatin kepada kesihatan peribadi,  sebaliknya amat digalak terus melakukan aktiviti harian secara  aktif.  Kecergasan diri setiap warga emas pasti mempengaruhi minda dan emosi seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan bersama,"jelasnya.

William berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HQE bertempat di Auditorium Utama, di kelmarin.

Tambahnya, setiap individu khususnya warga emas digalakkan sentiasa melakukan aktiviti yang digemari termasuklah bersenam kerana kesihatan diri memerlukan keseimbangan di antara aspek fizikal, psikologi, kerohanian dan sosial.

"Luangkan masa dengan aktiviti yang menyihatkan dan sentiasalah meningkatkan pengetahuan semasa. Paling utama fahami pelbagai maklumat berkenaan penyakit  yang mudah dijangkiti sebagai asas kepada pencegahan dan kesihatan peribadi,"jelas William.

Terdahulu Ketua Unit Geriatrik  HQE Dr. Premala A/P Subramaniam dalam ucapan alu-aluannya berkata, adalah menjadi tanggungjawab Unit Geriatrik  HQE mengambil langkah-langkah  awal agar  golongan warga emas terus  cergas dan sihat serta terus aktif memberi sumbangan.

Tambahnya, sambutan Hari Warga Emas pastinya memberi peringatan kepada kita bersama bahawa peningkatan usia termasuklah penuaan sel otak adalah satu proses yang berlaku dalam setiap  individu. Justeru kita perlu mengambil langkah-langkah  awal bagi mencapai penuaan yang berjaya.

"Elakkan pandangan negatif terhadap warga emas, sebaliknya kita perlu tingkatkan interaksi dan merapatkan hubungan generasi tua dan muda bagi melahirkan masyarakat yang  penyayang dan dinamik," ujarnya.

Selain  terus  merancang dan mempergiat pelbagai program  kesedaran  dan pengetahuan,  pihaknya akan terus mengadakan kempen dan promosi kesihatan agar masyarakat maklum bahawa proses  penuaan yang sihat penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan setiap warga emas.

Katanya, sambutan Hari Warga Emas setiap tahun diharap dapat memberi impak positif  dan  kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan penjagaan warga emas.

 Kakitangan HQE memberikan penerangan kepada salah seorang warga emas yang hadir.
PENERANGAN: Kakitangan HQE memberikan penerangan kepada salah seorang warga emas yang hadir.

Hampir seluruh warga HQE, serta wakli-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli lembaga pelawat hospital hadir menjayakan  sambutan.

Sambutan turut diisi sesi ceramah oleh Dr. Nareshraja Janardanan serta  program pemeriksaan kesihatan percuma, serta aktiviti lawatan dan khidmat  penjagaan kesihatan  kepada pesakit khususnya di kalangan pesakit warga emas di wad berdekatan.

Advertisement