Anda di sini

Peruntukan pembangunan usahawan Bumiputera tidak mencukupi, DUBS minta diperincikan 

Advertisement
 

KUCHING: Peruntukan bagi perniagaan Bumiputera dalam Belanjawan 2020 lebih kecil dan tidak mencukupi berbanding dengan belanjawan oleh kerajaan terdahulu.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Abang Helmi Ikhwan berkata bagi menyokong pembangunan usahawan Bumiputera, geran RM445 juta akan diberikan. 

Tetapi menurut Abang Helmi, tiada perincian dari segi agihan geran tersebut terutama bagi pembangunan usahawan Bumiputera di Sarawak. 

“Terdapat juga sejumlah RM300 juta yang disediakan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang berpotensi menjadi jaguh serantau. 

“Tetapi kita tidak tahu berapa daripada jumlah ini yang akan diperuntukan kepada PKS Bumiputera Sarawak. 

“Jadi kita minta Kerajaan Persekutuan memperincikan peruntukan ini supaya kita dapat merancang program pembangunan usahawan Bumiputera di negeri ini,” katanya mengulas Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam. 

Lim dalam pembentangan belanjawan berkata geran sebanyak RM445 juta adalah bagi tujuan akses kepada pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan. 

Ini termasuklah RM150 juta untuk semua program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), RM75 juta untuk membina kapasiti PKS Bumiputera oleh SMECorp yang merangkumi program untuk meningkatkan pemasaran, pembungkusan dan celik kewangan

Belanjawan 2020 turut menyediakan RM170 juta untuk akses pembiayaan melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) serta RM50 juta untuk program keusahawanan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. 

DUBS dalam pada itu turut menyambut baik kenaikan siling setiap syarikat bagi inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dari RM200,000 kepad RM300,000 ribu setiap tahun. 

Ini termasuk siling untuk penyertaan dalam setiap pameran eksport yang juga akan ditingkatkan dari RM15,000 kepada RM25,000. 

Menyentuh mengenai peruntukan RM4.4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Sarawak, DUBS ambil maklum ia adalah kedua tertinggi di negara selepas Sabah. 

Bagaimanapun menurut Abang Helmi, jumlah ini berkemungkinan adalah termasuk kos pembangunan Lebuhraya Pan Borneo dan ia adalah tidak mencukupi bagi Sarawak untuk mencapai pembangunan yang setanding dengan Semenanjung Malaysia. 

  • oleh
  • Advertisement