KOTA KINABALU: Penduduk Taman Milek Fasa 1 Luyang di sini menfailkan semakan kehakiman untuk menentang pembinaan jejambat pusingan U sepanjang Jalan Lintas yang kini menjejaskan keselamatan dan perumahan mereka.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Milek Fasa 1 Nasip Roslan berkata, semakan kehakiman itu bertujuan memberitahu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mengikuti peraturan dan regulasi sedia ada dalam perlaksanaan projek terbabit yang mendapat dana menerusi bayaran cukai orang awam.
"Sebagai masyarakat awam, kami tidak berhasrat untuk membantah pembangunan projek berkenaan yang memberi manfaat kepada orang awam.
"Bagaimanapun, projek berkenaan memberikan kesan negatif yang serius terhadap keselamatan dan kebajikan penduduk di sini.
"Oleh itu kami mempunyai hak untuk menyuarakan masalah ini dan kerajaan hari ini perlu dengar aduan ini dan mengambil langkah sepatutnya untuk menyiasat pembinaan projek ini," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, aduan sudah dibuat menerusi siaran media sebanyak beberapa kali dan aduan juga sudah dilakukan kepada jabatan berkaitan tetapi tidak tidak diambil perhatian oleh pihak berwajib.
"Sejak 2018 sehingga kini, kami sudah melakukan banyak aduan, kami juga sudah menghantar surai kepada pejabat Ketua Menteri, Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pejabat ADUN Luyang.
"Tetapi sehingga kini semua aduan yang disampaikan kepada pihak terbabit tidak mendapat maklum balas," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga kecewa terhadap ahli-ahli politik tertentu yang sebelum ini ketika menjadi pembangkang sangat mengambil perhatian masalah ini, sebaliknya kini pihak terbabit seolah-olah melepas pandang terhadap masalah berkenaan.
Katanya lagi, sejak awal tahun ini, banyak rumah penduduk di sini mengalami keretakan sehingga mampu menjejaskan keselamatan.
"Aduan juga dilakukan kepada pihak pemaju tetapi tidak dilayan, seolah-olah nyawa penduduk di sini tidak bernilai," katanya.