Anda di sini

PDRM laksana penerbangan ihsan

Advertisement
 Mohd Nasaruddin melihat keadaan Nur Hakimin sambil diperhatikan oleh Rapail (kiri).
KEBAJIKAN: Mohd Nasaruddin melihat keadaan Nur Hakimin sambil diperhatikan oleh Rapail (kiri).

SANDAKAN: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengadakan penerbangan ihsan bagi keluarga Sarjan Rapail Abdul Munap dari Lapangan Terbang Sandakan ke Kota Bahru, Kelantan menggunakan pesawat Unit Udara PDRM jenis Super King Air Beechcraft 350.

Rapail yang telah bertugas di Batalion 20 PGA Beluran selama tiga tahun dan sebelum ini bertugas 21 tahun di Batalion 14 PGA Tawau akan berpindah tugas ke Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa.

Beliau mempunyai seorang anak istimewa bernama Nur Hakimin , 18, yang disahkan menghidap penyakit ekoran jangkitan kuman di otak sejak berusia 11 bulan akibat mengalami lumpuh dan sawan.

Pada bulan Februari 2002, Nur Hakimin telah menjalani pembedahan otak dengan memasukkan tiub pada bahagian kepala yang disambungkan ke addomennya bagi melancarkan aliran air dalam badan dan kini hanya terlantar di atas kerusi roda dan memerlukan penjagaan rapi dari anggota keluarga.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, penerbangan ihsan yang dijalankan kepada keluarga ini atas keprihatinan semua pihak dalam PDRM bagi menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya.

Beliau berkata, keluarga Sarjan Rapail ini pernah memohon bertukar ke Kelantan kerana keadaan ibu mertuanya yang lumpuh dan anaknya yang kurang upaya.

“Bantuan telah diberikan dengan kerjasama semua pihak dalam PDRM terutamanya Batalion 20 PGA Beluran dan Pasukan Gerakan Udara telah memudahkan segala urusan dengan izin Allah S.W.T.,“katanya.

Mohd Nasaruddin telah melaporkan keadaan kebajikan keluarga tersebut serta permohonan pertukarannya kepada pengurusan PDRM dan pertukaran itu telah dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh PDRM.

“Penerbangan ihsan ini dipohon oleh Batalion 20 PGA Beluran memandangkan keadaan anak beliau yang menghidap kecacatan fizikal jenis Post Meningitis With CP (Cerebral Palsy) sejak 11 bulan dan kini anaknya telah berusia 18 tahun.

“Kecacatan tersebut menyebabkan anak Sarjan Rapail tidak dapat duduk secara normal atau perlu penjagaan serta pengawasan rapi dari keluarga.

"Pengurusan penerbangan ihsan ini dijalankan pada Jumaat dari Lapangan Terbang Sandakan ke Kuching, untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Bahru, Kelantan pada keesoknya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengatur penginapan keluarga ini semasa mereka berada di  Kuching.

 Pegawai Batalion 20 PGA Beluran bersama PERKEP Batalion 20 PGA serta pihak terlibat bergambar bersama Sarjan Rapail serta keluarga.
PENERBANGAN IHSAN: Pegawai Batalion 20 PGA Beluran bersama PERKEP Batalion 20 PGA serta pihak terlibat bergambar bersama Sarjan Rapail serta keluarga.

Sementara itu, Sarjan Rapail Abdul Munap yang terharu dan sebak mengucapkan berbanyak terima kasih atas kebajikan PDRM terutamanya kepada Batalion 20 PGA dan mereka yang terlibat.

Isteri Rapail, Rohaizan Ismail berkata, anaknya Nur Hakimin merupakan anak keempat dari enam beradik.

Beliau yang berasal dari Kelantan dan menetap di Sabah selama 24 tahun turut mengucapkan kepada semua pihak terlibat dalam usaha menyediakan penerbangan ihsan ini.

  • oleh
  • Advertisement