Anda di sini

Masalah komunikasi faktor kekalahan skuad Harimau Malaya

Advertisement
Antara aksi perlawanan antara skuad Malaysia dan Vietnam malam tadi. - Gambar FB Persatuan Bolasepak Malaysia.
Antara aksi perlawanan antara skuad Malaysia dan Vietnam malam tadi. - Gambar FB Persatuan Bolasepak Malaysia.

HANOI: Kapten skuad Harimau Malaya, Mohd Farizal Marlias kecewa dengan kekalahan 0-1 Malaysia kepada Vietnam pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, semalam.

Penjaga gol berpengalaman itu memiliki impian untuk menyaksikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih satu mata, namun ia gagal dicapai selepas gol tunggal Nguyen Quang Hai pada minit ke-39 menjadi perbezaan pada perlawanan itu.

Mengulas mengenai jaringan tersebut, Mohd Farizal mengakui masalah komunikasi antara beliau dan pertahanan Mohd Shahrul Saad telah menghukum pasukan negara.

“Keputusan ini agak mengecewakan kerana kita tidak dapat bawa pulang mata, sekurang-kurangnya satu mata. Kita perlu perbaiki dari segi teknikal dan saya harapkan kami semua lebih bersedia dan juga sedar dengan kelemahan yang kita ada.

“Pasukan sudah lakukan yang terbaik tetapi mungkin kerana sedikit kelekaan kita dihukum. Mungkin kegagalan komunikasi antara saya dan ‘badak’ (Mohd Shahrul), kita dibolosi. Saya terima kekalahan ini dan akan belajar daripada kesilapan itu,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas perlawanan di sini.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini di kedudukan keempat dengan mengumpul tiga mata, sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengungguli saingan kumpulan dengan enam mata selepas membelasah Indonesia 5-0 dalam aksi kedua mereka semalam.

Thailand dan Vietnam masing-masing berkongsi empat mata di kedudukan kedua dan ketiga selepas mengharungi dua perlawanan.

Sementara itu, Mohd Farizal optimis peluang Malaysia untuk merebut slot ke pusingan ketiga sekali gus mengesahkan tempat pada pusingan akhir Piala Asia 2023 masih terbuka dengan baki lima perlawanan perlu ditempuh pasukan negara.

“Baki perlawanan akan datang kami harus cuba mengutip mata penuh untuk mencerahkan peluang pasukan dan kami perlu memberikan segalanya untuk capai matlamat itu,” katanya.

Malaysia akan meneruskan saingan kumpulan dengan melayani kunjungan Thailand pada 14 Nov dan Indonesia (19 Nov) di Stadium Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA

Advertisement