Anda di sini

'Membangun dengan ilmu' visi utama ADUN Membakut

Advertisement
 Arifin merakamkan gambar kenangan bersama calon SPM di SMK Membakut.
KENANGAN: Arifin merakamkan gambar kenangan bersama calon SPM di SMK Membakut.

MEMBAKUT : 'Membangun dengan ilmu', itu adalah antara visi utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Arifin Arif terhadap pendidikan di kawasan yang diwakili beliau.

Slogan itu antara sering beliau tegaskan setiap kali berpeluang memberikan ucapan dalam majlis pendidikan atau program lainnya.

Semalam, sempena Program Jejak Ilmu 2019 yang diadakan di sekitar Membakut, Arifin sekali lagi menekankan tentang kepentingan ilmu kepada para pelajar khususnya calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam Program Jejak Ilmu 2019 itu, Arifin meluangkan masa menyampaikan amanat serta kata-kata semangat kepada calon-calon di tiga buah sekolah di Membakut iaitu di Sekolah Menengah (SM) St Patrick Membakut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut dan SMK Membakut 2.

Arifin ketika ditemui pemberita berkata, slogan 'Membangun dengan ilmu' itu adalah antara usaha beliau sejak menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit, bagi mengangkat Membakut sebagai daerah ilmu.

Katanya, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk ke arah visi berkenaan dan antara usaha yang perlu dilakukan adalah memastikan anak-anak di Membakut tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan terutama pelajar dari kalangan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, dengan adanya bantuan yang disediakan kerajaan khusus untuk golongan kurang berkemampuan ia seharusnya tidak dijadikan sebagai alasan untuk tidak menuntut ilmu malah perlu dijadikan sebagai 'pembakar semangat' untuk meraih kejayaan.

Selain bantuan kerajaan, beliau juga turut menyediakan dana melalui peruntukan ADUN beliau sendiri kepada sekolah-sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) demi pembangunan pendidikan di Membakut.

Justeru beliau berharap, para pelajar terutama calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi akan melakukan dengan sebaik mungkin demi merubah kehidupan masing-masing ke arah yang lebih baik serta demi kemajuan Membakut itu sendiri.

  • oleh
  • Advertisement