Anda di sini

Amalan kekalkan kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama

Advertisement
 Jaujan (tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan dengan para peserta persidangan.
KENANGAN: Jaujan (tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan dengan para peserta persidangan.

KOTA KINABALU: Suasana persekitaran bersih adalah tanggungjawab bersama yang harus dikekalkan bagi meneruskan kehidupan sihat.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tanpa udara, air dan tanah yang bersih, ianya menjadi sukar kepada semua hidupan termasuk manusia bagi meneruskan kehidupan yang sihat.

"Kerajaan Sabah sentiasa melihat kebersihan alam sekitar sebagai keutamaan, ia termasuklah pengurusan sisa pepejal, mengurangkan pengeluaran karbon, melindungi sumber air, pemuliharaan hutan, habitat serta membina pembangunan moden dan hijau kepada rakyat kita.

"Penjagaan persekitaran yang baik boleh menyediakan suasana keadaan ekonomi mampan kepada kerajaan negeri.

"Ini adalah pendekatan baharu kita bagi mewujudkan pembangunan hijau di sini berdasarkan Pelan Tindakan Bandaraya Kota Kinabalu yang baharu," katanya ketika merasmikan Persidangan Borneo Green City International, di sini semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Shafie berkata, masalah di bandar seperti pengurusan sampah, kekurangan air, pengeluaran karbon, banjir, bekalan elektrik, setinggan, rumah mampu milik dan banyak lagi adalah cabaran yang perlu diatasi secara strategik.

Katanya, rujukan dari bandar-bandar utama negara lain perlu dipelajari dan diambil kira bagi mencari pendekatan mengatasi pelbagai cabaran dihadapi di bandar-bandar negeri ini.

"Kini kita boleh mula dengan menyatukan pelan tindakan dari semua rancangan yang disediakan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta agensi-agensi kerajaan.

"Pendekatan bersepadu ini penting bagi mencapai keputusan yang berkesan selain tidak menjejaskan alam sekitar," katanya.

Menurutnya, untuk mencapai bandaraya yang mampan dan berdaya saing, ia memerlukan usaha daripada semua pihak termasuk pemegang taruh dan bukan hanya dari kerajaan.

Katanya, setiap individu di Sabah perlu mempertimbangkan peranan masing-masing dalam amalan gaya hidup hijau di bandaraya ini.

"Sektor swasta perlu secara inovasinya mengguna pakai amalan perniagaan secara mampan. Kita perlu menjadikan bandaraya ini bebas sampah.

"Saya juga berharap daerah lain di negeri ini turut bersama-sama kita di sini untuk memulakan inisiatif hijau ini. Saya berharap DBKK akan berkongsikan amalan baik ini kepada semua 26 daerah di Sabah," katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Tan Lee Fatt, Mayor DBKK Datuk Nordin Siman serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement