Anda di sini

Sifan lengkapkan kejuaraan berganda di Kejohanan Dunia

Advertisement
 Atlet pecut lelaki AS meraikan kejayaan mereka memenangi acara 4x100 meter lelaki pada kejohanan tersebut. — Gambar AFP
HEBAT: Atlet pecut lelaki AS meraikan kejayaan mereka memenangi acara 4x100 meter lelaki pada kejohanan tersebut. — Gambar AFP

DOHA, Qatar: Sifan Hassan tidak mengendahkan penggantungan ke atas jurulatihnya, Alberto Salazar untuk melengkapkan kejuaraan berganda 1,500 dan 10,000 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia di sini ketika beberapa atlet bintang mengulangi kejayaan mereka Sabtu lepas.

Hassan memecah rekod kejohanan dalam acara 1,500 meter – yang bertahan selama 16 tahun – dalam apa yang beliau akui merupakan “minggu yang sukar” kerana penggantungan empat tahun ke atas Salazar, yang diumumkan pada pertengahan minggu.

Atlet Belanda kelahiran Habsyah berusia 26 tahun itu, menanggalkan plat nama dan juga melakukan satu pusingan tanpa kasut sambil mengibar bendera Belanda untuk meraikan kemenangannya.

“Saya tidak membincangkan satu strategi kerana saya tidak mempunyai sesiapa untuk dibincangkan,” kata Hassan.

“Ia adalah minggu yang sangat sukar dan ada banyak yang terlintas di fikiran saya tetapi saya mempunyai seorang jurulatih yang baik dan beliau benar-benar menyokong saya.”

Beliau menambah: “Saya menunjukkan kepada dunia bahawa saya atlet bersih.”

Hellen Obiri dari Kenya dan Yulimr Rojas dari Venezuela, masing-masing mengekalkan kejuaraan 5,000 meter wanita dan lompat kijang.

Rojas berkata keadaan sukar di negaranya menjadi motivasi untuk beliau mempertahankan kejuaraannya.

Venezuela mengalami krisis ekonomi teruk dan juga ketegangan politik di antara kerajaan sosialis dari parti Presiden Nicolas Maduro dan Dewan Rakyat yang diketuai pemimpin pembangkang, Juan Guaido.

“Saya fikir apa yang berlaku dalam negara saya adalah kenapa saya mahu memastikan ia satu kebanggaan dan memberi inspirasi kepada seluruh negara dan generasi akan datang,” kata atlet berusia 23 tahun itu.

Joe Kovacs dari Amerika Syarikat menambah kejuaraan kedua beliau dalam acara lontar peluru – selepas memenanginya pada 2015 – dengan lontaran terakhir sejauh 22.91 meter di hadapan isteri dan jurulatihnya, Ashley.

Semua tiga pemenang pingat – juara Olimpik, Ryan Crouser dan juara 2017, Tomas Walsh, masing-masing memenangi perak dan gangsa – mengatasi rekod lama kejohanan yang berusia 32 tahun miliki Werner Gunther.

Dua jaguh veteran AS, Justin Gatlin dan Shelly-Ann Fraser-Pryce, menamatkan badi lama apabila memenangi acara lari berganti-ganti 4x100 meter untuk bahagian lelaki dan wanita.

Gatlin, bekas juara dunia sebanyak dua kali – yang juga juara dunia acara 200 meter pada 2005 – terpaksa menunggu sehingga berusia 37 tahun untuk akhirnya memenangi acara 4x100 meter.

“Pingat emas ini sangat bermakna bagi saya, mungkin lebih dari apa yang saya menangi secara individu. Ia sudah tersisih dari koleksi saya sepanjang karier saya dari peringkat kolej lagi,” kata Gatlin.

“Saya mahu memberikan pujian kepada rakan sepasukan. Mereka mengatasi badi itu (baton jatuh sebelum ini) dan saya benar-benar menghargai hadiah yang saya terima hari ini.”

Fraser-Pryce menambah koleksi emas dalam acara berganti-ganti – pingat keempat beliau pada kejohanan ini – selepas memenangi emas dalam acara 100 meter dan pingat kesembilan keseluruhan dalam sejarah kejohanan.

Atlet berusia 32 tahun itu memberikan sepenuh pujian kepada tiga rakan sepasukannya yang kurang berpengalaman berbanding beliau.

“Ia menggembirakan untuk berada di kalangan atlet muda dan melihat mereka menyerlah dan memenangi pingat emas menunjukkan kehebatan mereka,” kata Fraser-Pryce.

Hari terakhir kejohanan akan menyaksikan ketiadaan beberapa juara dunia dan Olimpik selepas gagal melepasi peringkat kelayakan. — AFP

Advertisement