Anda di sini

DKKA dilancar berdasarkan perkembangan isu keselamatan 

Advertisement
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menunjukkan buku Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) pada Majlis Pelancaran DKKA hari ini. Turut kelihatan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menunjukkan buku Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) pada Majlis Pelancaran DKKA hari ini. Turut kelihatan Muhyiddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim.

PUTRAJAYA: Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan hari ini, dibuat berdasarkan perkembangan isu-isu semasa keselamatan di peringkat global dan antarabangsa, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dasar itu adalah untuk menambah baik strategi dan langkah-langkah keselamatan negara, yang disusun semula.

Muhyiddin berkata sebelum ini, kementeriannya telah mempunyai Dasar Keselamatan Dalam Negeri tetapi ia digantikan dengan DKKA, sebagai usaha memperkemas prosedur sedia ada.

“Selain itu, DKKA mempunyai enam teras utama dengan 21 strategi, yang antaranya mempunyai peruntukan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatankuasa tertinggi, yang akan dipengerusi oleh saya bersama pegawai-pegawai tinggi serta agensi berkaitan.

"Ia supaya kita dapat menentukan apa strategi yang telah disusun tadi, dapat dilaksanakan dalam menentukan negara kita ini akan terus kekal selamat, daripada sebarang bentuk dan masalah berkaitan dengan ketenteraman awam, dapat ditangani dengan berkesan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan DKKA di Kompleks KDN, di sini.

Ditanya mengenai tempoh DKKA dilaksanakan, Muhyiddin berkata ia dilaksanakan mulai sekarang tetapi secara berperingkat-peringkat.

“Kami akan lihat sekiranya ada perubahan dalam DKKA, ia ditambah baik dari semasa ke semasa dalam kerangka Dasar Keselamatan Negara,” katanya.

Ditanya sekiranya ada sebarang perubahan akta di bawah KDN, beliau berkata sebahagian akta telah di bawa ke Parlimen yang lepas, manakala sebahagian akan dibawa ke Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Ada lagi akta yang sedang berada dalam kajian, bersandarkan urusan kerajaan Pakatan Harapan dan manifesto yang telah kita tentukan,” katanya.

Muhyiddin berkata akta-akta yang dalam kajian KDN, akan dibawa secara berperingkat ke Parlimen dan akta yang telah mula dibawa antaranya Akta Perhimpunan Aman 2012.

Muhyiddin berkata sebelum membawa sesuatu akta ke Parlimen, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan jemaah menteri.

Selain itu, Muhyiddin berkata DKKA juga menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara, penglibatan dan sokongan pelbagai pihak amat penting dalam melaksanakan semua inisiatif di bawah DKKA.

“Untuk memberi kefahaman kepada semua pihak yang berkaitan, KDN akan merangka pelan komunikasi yang komprehensif merangkumi mesej strategik, kepada semua golongan sasar dengan menggunakan pelbagai medium termasuk media sosial.

“Ini penting, untuk menjamin wujudnya kefahaman yang menyeluruh mengenai dasar ini dan memastikan pelaksanaan kesemua inisiatif di bawahnya dapat dibuat dengan cekap, berkesan dan teratur,” katanya.

Turut hadir sama, Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Alwi Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan timbalannya Datuk Mazlan Mansor. - Bernama

Advertisement