Anda di sini

Pelajar FMHS UMS adakan kempen kesedaran di Kg Lembah Permai Ranau

Advertisement
 Beberapa pelajar perubahan UMS memberikan ceramah kesihatan kepada penduduk kampung.
CERAMAH: Beberapa pelajar perubahan UMS memberikan ceramah kesihatan kepada penduduk kampung.

KOTA KINABALU: Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sabah (FMHS UMS) mempersembahkan lakonan bertajuk 'Good Touch, Bad Touch' dalam usaha mewujudkan kesedaran dalam kalangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang di sini baru-baru ini.

Ketua Penyelaras Program Syazreen Farlina berkata, program seumpamanya diadakan berdasarkan kebimbangan para ibu bapa mengenai isu keselamatan dan penderaan kanak-kanak yang sering dilaporkan dalam media.

"Program yang diadakan itu turut menerima sambutan baik daripada para kakitangan sekolah berkenaan memandangkan isu keselamatan dan pencegahan penderaan kanak-kanak adalah perkara yang perlu diambil perhatian oleh semua warga pendidik," katanya dalam satu kenyatan di sini kelmarin, selepas menjayakan program berkenaan selama 10 hari di Kampung Lembah Permai Ranau.

Beliau berkata, program kesedaran itu adalah salah satu aktiviti yang diadakan oleh sekumpulan 17 pelajar FMHS UMS sepanjang tempoh kempen berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka juga berjaya mengenal pasti beberapa isu kesihatan yang melanda penduduk di kampung berkenaan seperti penyakit tekanan darah tinggi dan diabetis.

"Penyakit itu wujud disebabkan kebanyakan penduduk di sini mempunyai tabiat kehidupan tidak terjaga selain kurangnya kesedaran terhadap perkara yang berkaitan risiko kesihatan.

"Selain itu, kami juga memberikan penerangan mengenai beberapa isu kesihatan dengan mengadakan program pendidikan kesihatan mengenai cara mengelakkan tekanan darah tinggi dan diabetis," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Lembah Permai Japarin Uyun mengucapkan terima kasih atas kempen kesihatan yang diadakan.

Katanya, kempen itu diharapkan mempunyai impak positif kepada penduduk kampung dalam usaha menjaga tahap kesihatan masing-masing.

"Komitmen yang dibawakan oleh para pelajar UMS ini walaupun seketika sahaja tetapi ianya mampu membawa perubahan kepada penduduk kampung ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement