Anda di sini

Perodua raih Emas Anugerah Jenama Putra untuk kali ketiga

Advertisement
 Ahmad Suhaimi (tengah) menerima Anugerah Emas dalam kategori Automotif mewakili Perodua pada Anugerah Jenama Putra 2019 kelmarin.
KEGEMARAN MALAYSIA: Ahmad Suhaimi (tengah) menerima Anugerah Emas dalam kategori Automotif mewakili Perodua pada Anugerah Jenama Putra 2019 kelmarin.

KUCHING: Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) berjaya meraih Emas dan kategori Automotif pada sebuah majlis berprestij, Anugerah Jenama Putra 2019 di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ini menjadi kemenangan kali ketiga berturut-turut sebagai salah satu jenama pengeluar automotif kegemaran Malaysia.

“Kami berasa rendah diri dengan pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap jenama kami.

“Pengiktirafan ini menjadi motivasi dan galakan untuk kami bekerja lebih keras seiring dengan objektif utama kami iaitu ‘People First’ yang mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim mewakili Perodua untuk menerima anugerah berkenaan pada majlis berkenaan.

Perodua berjaya memenangi sembilan anugerah daripada 10 tahun anugerah yang dipertandingkan itu.

Sebelum ini, jenama tersebut memenangi emas pertamanya pada 2017 dan emas keduanya pada 2018.

“Perodua jauh sekadar sebuah syarikat kenderaan dengan pelaksanaan pelbagai program merangkumi keselamatan, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti amal kepada inisiatif kepuasan pelanggan serta pembangunan modal insan, para pembekal dan pengedar.

“Kerana kami ingin menjadi sebuah jenama yang mampu memberi kesan positif dan nyata kepada rakyat Malaysia,” ujar Zainal dalam kenyataan akhbarnya semalam.

Anugerah Jenama Putra mengiktiraf jenama-jenama kegemaran Malaysia berdasarkan wawancara awam, melibatkan lebih 8,000 responden tahun ini.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Acara tersebut turut disokong oleh Persatuan Digital Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia dan Persatuan Pakar Media.

Advertisement