Anda di sini

Lawatan kerja Ketua Menteri ke Kelimantan Timur, Kelimantan Utara

Advertisement
 Shafie berbincang bersama Gubernur Kalimantan Timur, Bapak Isran Noor (kiri). Turut kelihatan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong (dua kanan) dan Datuk Christina Liew (tiga kanan).
BINCANG: Shafie berbincang bersama Gubernur Kalimantan Timur, Bapak Isran Noor (kiri). Turut kelihatan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong (dua kanan) dan Datuk Christina Liew (tiga kanan).

BALIKPAPAN (Indonesia): Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam memulakan lawatan kerja selama tiga hari di Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara, Indonesia.

Pesawat khas dinaiki Mohd Shafie dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di Lapangan Terbang Sultan Aji Muhamad Sulaiman jam 9 pagi.

Beliau disambut oleh Pelaksana Tugas (Plt) Asisten I Bidang Pemerintahan Kalimantan Timur Jauhar Efendi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Kalimantan Indonesia selepas menjadi Ketua Menteri Sabah dan turut disertai beberapa menteri Kabinet dan pegawai kerajaan negeri.

Mohd Shafie mempunyai jadual padat pada lawatan ini dengan hari pertama bermula di Balikpapan dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Timur Isran Noor.

Pertemuan ini bagi perbincangan tentang pembangunan Kalimantan Timur serta pelan pembangunan ibu negara Indonesia di kawasan itu.

Ia disusuli melawat projek Lebuh Raya Balikpapan – Samarinda dan pada program berasingan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yaacob menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Balikpapan serta sesi dialog dan lawatan fakulti.

Lawatan hari pertama diakhiri dengan Majlis Makan Malam di Restoran Oceans, Balikpapan yang dihoskan oleh Ketua Menteri Sabah.

Pada hari kedua, Mohd Shafie akan melawat PT. Pertamina (Persero) Syarikat Minyak dan Gas dan sebelum berlepas ke Tarakan, beliau dan rombongan berkunjung ke Pasar Kebun Sayur.

Lawatan hari ketiga di Tarakan yang terletak di Kalimantan Utara dimulakan dengan Mohd Shafie melakukan kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Utara Dr H. Irianto Lambrie.

Perbincangan menjurus tentang pembangunan Kalimantan Utara serta peluang kerjasama ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

Sebelum mengakhiri lawatan di Tarakan, Mohd Shafie serta rombongan melawat projek perikanan membabitkan kolam udang, ketam dan rumpai laut.-Bernama.

Advertisement