Anda di sini

Abam Shaff akhiri zaman bujang

Advertisement
 Abam Shaff melansungkan pernikahannya dengan Aisah di Masjid Daerah Sandakan.
AKHIRI ZAMAN BUJANG: Abam Shaff melansungkan pernikahannya dengan Aisah di Masjid Daerah Sandakan.

SETELAH menyiapkan lirik lagu ciptaannya dan melancarkan di Youtube pada September lepas, DJ radio Sandakan FM, Fieys Shafizan atau Abam Shaff telah menamatkan zaman bujangnya, semalam.

Artis tempatan Negeri Di Bawah Bayu ini telah menikahi gadis pilihannya, Aisah Rigin yang adakan di Masjid Daerah Sandakan, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Selesai majlis pernikahan, kedua mempelai ini kemudiannya menghadiri majlis kenduri doa selamat dan persandingan di kediaman keluarga pasangan mereka di Jambatan 10, No. 156 Kampung Sim-Sim, Sandakan.   

Abam Shaff berkata, perkenalannya dengan cinta hatinya itu bermula di Kota Kinabalu pada tahun 2012 ketika mereka masih melanjutkan pelajaran masing-masing.

“Kami belajar di tempat berasingan di mana saya ketika itu melanjutkan pelajaran di Politeknik dan dia di UNITAR,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo selepas majlis pernikahannya.

Abam Shaff memberitahu, perkenalan mereka unik sebab pada mula berjumpa di dalam sebuah bas Sepanggar yang mana waktu itu mereka masing-masing dalam perjalanan balik ke rumah.

“Tidak diduga dan disangka di situlah bermulanya titik percintaan kami. Saya tertarik dengan dia, pertama sekali dengan gaya slumbernya. Dia jenis yang simple, mudah terhibur dan nampak garang tetapi sebenarnya dia seorang yang peramah,” katanya.

Sejak dari detik perkenalan itu, mereka telah mula berkawan sehinggalah merancang untuk perkahwinan itu.

“Kami telah melangsungkan pertunangan pada 18 Ogos tahun lepas di mana sebenarnya kami rancang untuk berkahwin pada awal tahun ini sebelum bulan Ramadan lalu, tetapi tidak dapat dilangsungkan,” katanya.

Beliau berkata, mereka percaya perancangan Allah SWT itu adalah yang terbaik dan akhirnya majlis pernikahan mereka dapat dilangsungkan.

“Sepanjang perkenalan kami, dia amat memahami kerjaya saya sebagai seorang DJ radio dan dalam bidang nyanyian,” katanya.

Abam Shaff berkata, walaupun sibuk dengan tugas seharian dan memenuhi undangan menyanyi dalam majlis-majlis atau program tertentu, tetapi masa untuk bersama sebelum ini dengan gadis pilihannya itu tetap ada.

“Semasa saya menyiapkan lirik lagu ‘Tinggal Tanda Tanya’, dia adalah orang yang tetap menyokong karier saya selain ahli keluarga saya sendiri,” katanya.

Beliau juga membuat kerja jualan online yang mana mereka akan buat kerja bersama-sama dan saling membantu dalam kerja yang dilakukan.

“Sikap rajin dan berusaha yang dia lakukan ini juga membuatkan saya senang bersamanya,” jelasnya.

Sementara itu, Aisah yang kini bertugas sebagai seorang kerani di sebuah syarikat di Sandakan berkata pada awalnya dia hanya menggangap Abam Shaff sebagai kawan biasa.

Namun, kerana sudah lama berkawan, dia dapati mereka serasi dan akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Saya berharap suami saya terus berjaya dan maju dalam kariernya sebagai seorang penyanyi dan DJ radio,” katanya.

Beliau akan terus menyokong serta menjadi tulang belakang dalam karier suaminya pada masa depan.

Lagu Tinggal Tanda Tanya yang dicipta sepenuhnya oleh Abam Shaff dan diterbitkan oleh S Nazri Kausar Studio telah dilancarkan di Youtube dua minggu lepas.

Lagu single pertama ini telah menaikkan nama Abam Shaff setanding dengan artis tempatan Sabah yang lain.  

Ditanya mengenai karier selepas berkahwin, Abam Shaff atau nama sebenarnya Muhammad Shafizan Latip memberitahu perancangan dalam karier masih dalam perbincangan.

“Sebab buat masa ini, saya ingin ambil masa rehat seketika selepas majlis pernikahan ini,” katanya.

Sebagai penyampai radio dan penyanyi, beliau berkata ia adalah kerjanya yang orang lain boleh nampak.

“Tetapi sebenarnya ada pelbagai lagi kerja yang saya buat di mana orang di luar sana tidak nampak. Saya buat semua kerja kerana suka.

“InshaAllah… dalam bulan November depan, saya akan mulakan penggambaran muzik video lagu single saya dan akan menemui peminat tidak lama lagi,” katanya.

 Abam Shaff menyarung cincin ke jari manis Aisah.
IJAB KABUL: Abam Shaff menyarung cincin ke jari manis Aisah.
  • oleh
  • Advertisement