Anda di sini

Mangsa gempa bumi di Indonesia meningkat kepada 30

Advertisement

JAKARTA: Angka kematian akibat satu gempa bumi yang sangat kuat menggegarkan pulau terpencil Maluku di Indonesia meningkat kepada 30 orang semalam, termasuk beberapa orang bayi, menurut pihak agensi bencana.

Pada Khamis lepas, penduduk yang ketakutan telah berlari keluar ke jalan raya ketika bangunan runtuh di sekeliling mereka semasa gegaran sekuat 6.5 - magnitud melanda, menyebabkan tanah runtuh yang menimbus sekurang-kurangnya seorang daripada mangsa.

Di antara kematian yang disahkan adalah tiga orang kanak-kanak, dengan ramai orang terkorban akibat serpihan jatuh di dalam dan sekitar bandar Ambon yang dilanda gempa bumi.

Gabenor wilayah telah mengumumkan perintah darurat sehingga 9 Oktober, kata pihak agensi.

“Pada pagi Ahad, 30 orang meninggal dunia dan 156 orang tercedera,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana negara Agus Wibowo.

Pada Jumaat lepas, pihak agensi telah mengurangkan angka kematian rasmi dari 23 kepada 19 orang selepas pihak berkuasa menyedari sebahagian dari mangsa yang terkorban telah dikira sebanyak dua kali.

Sekurang-kurangnya 25,000 orang telah melarikan diri kerana rumah mereka mengalami kerosakan akibat gegaran yang kuat, menurut Wibowo sebelum itu.

Beratus-ratus buah rumah, pejabat, sekolah dan bangunan awam telah turut mengalami kerosakan ketika bencana tersebut. Pihak berkuasa  telah mendirikan beberapa buah khemah sementara dan dapur awam bagi penduduk yang dipindahkan di beberapa buah daerah.

Pihak US Geological Survey menyatakan gempa bumi berlaku kira-kira 37 kilometer timur laut Ambon di wilayah Maluku pada satu kedalaman 29 kilometer.

Kepulauan Asia Tenggara ini merupakan salah satu dari negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.

Ia kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi disebabkan oleh kedudukannya di dalam “Lingkaran Api” Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.

Pada tahun lepas, satu gempa bumi sekuat 7.5 magnitud dan tsunami di Palu di pulau Sulawesi menyebabkan lebih dari 4,300 orang meninggal dunia atau hilang.

Pada 2004, satu gempa bumi yang sangat kuat dengan magnitud 9.1 melanda pantai Sumatra dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di seluruh wilayah, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia. – AFP

Advertisement