Anda di sini

Laporan lengap masih ditunggu, berhubung kajian semula penggunaan bot pam

Advertisement
 Shafie (tengah) ketika meninjau galeri jualan sambil diiringi Derek (kanan).
TINJAU: Shafie (tengah) ketika meninjau galeri jualan sambil diiringi Derek (kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah masih menunggu laporan penuh daripada agensi penguatkuasaan berhubung dengan cadangan mengkaji semula penggunaan bot pam berikutan berlakunya kes penculikan terbaharu membabitkan tiga nelayan Indonesia di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bersama semua pihak terlibat termasuklah persatuan nelayan serta sebagainya.

"Saya minta laporan lengkap dan termasuk semua pihak yang terlibat secepat mungkin," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Galeri Jualan dan Unit Contoh The Crown Project, di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang giat memperkasakan siasatan ke atas salah laku dalam aktiviti pembalakan dan perlombongan di Sabah, Shafie menjelaskan, pihaknya tidak akan masuk campur dalam siasatan itu.

"Terserah kepada SPRM bertindak atas maklumat yang diperolehi mereka," tegasnya

Katanya, perkara yang penting di Sabah adalah untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan gejalah rasuah.

"Ini isu yang dibangkitkan sebelum pilihan raya umum lalu oleh masyarakat yang  mahu kerajaan atasi dengan baik.

"Perkara ini kita serah kepada keupayaan SPRM kini dan kerajaan di sini akan sentiasa bantu memberikan data dan pangkalan maklumat....no cover up," katanya.

Sebelum itu, beliau berkata, The Crown Project adalah satu pembangunan yang melibatkan pembinaan lebih kurang 300 bilik hotel dan lebih 300 unit pangsapuri di sini yang bernilai lebih daripada RM600 juta.

Katanya, pelaburan yang dilakukan itu sudah pasti akan menyediakan banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan dalam pelbagai sektor berkaitan seperti perkhidmatan, pelancongan dan banyak lagi.

"Pembangunan ini adalah usahasama dengan DBKK dengan pihak Kumpulan Ho Hup yang merupakan sebuah syarikat tempatan tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

"Sabah khususnya di sini kini memerlukan lebih banyak bilik penginapan bagi menampung kedatangan pelancong yang ramai. Kita juga banyak menganjurkan acara di sini secara tidak langsung para peserta memerlukan tempat penginapan yang tidak jauh dari bandar," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan percaya untuk satu tempoh yang panjang, pembangunan-pembangunan dicapai di Sabah akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

"Dalam masa terdekat, kita juga akan melancarkan blueprint dalam sektor pertanian...kita akan membekalkan bekalan makanan yang banyak kepada sektor berkaitan dengan harga berpatutan.

"Ini antara inisiatif kerajaan Sabah dan ianya perlu diurus dengan baik, ia bukan hanya melibatkan sektor pelancongan tetapi juga permintaan pengguna. 

"Ia penting kepada kita untuk mengambil pendekatan komprehensif...the way forward for Sabah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ho Hup Datuk Derek Wong berkata, pembangunan itu dijangka akan siap pada penghujung 2021 atau awal 2022.

Katanya, ia adalah projek pembangunan pertama mereka di Sabah dan merancang untuk meneruskan pelaburan dalam sektor pelancongan serta hartanah di negeri ini pada masa hadapan.

  • oleh
  • Advertisement