Anda di sini

Menteri Wilayah Persekutuan saksikan penyerahan kunci kepada pemilik unit Residensi Wangsamas

Advertisement
 Khalid dan Tan Sri Chai Kin Kong bersama para pemilik unit Residensi Wangsamas.
TERIMA KUNCI: Khalid dan Tan Sri Chai Kin Kong bersama para pemilik unit Residensi Wangsamas.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad telah menyaksikan 441 pemilik menerima kunci bagi unit-unit kediaman baharu Residensi Wangsamas sempena majlis penyerahan kunci yang dianjurkan oleh syarikat pemaju, Aset Kayamas Sdn Bhd.

Ia merupakan salah satu projek rumah mampu milik skim Residensi Wilayah di bawah Pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd dengan syarikat bersekutunya Era Ecoland Sdn Bhd.

Residensi Wangsamas menempatkan sejumlah 441 unit kediaman dan pembinaan projek perumahan ini bertujuan merealisasikan impian warga kota yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri di Kuala Lumpur.

Setiap unit Residensi Wangsamas yang ditawarkan dari harga serendah RM198,000, didatangkan dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan lot parkir terlindung.

Pengarah Eksekutif Aset Kayamas Michael Chai berkata, “Salah satu misi syarikat Aset Kayamas adalah untuk membina rumah pada harga yang berpatutan dan mampu dimiliki untuk warga kota khasnya supaya mereka dapat menikmati standard kehidupan tertinggi dan menyediakan tempat tinggal yang berdekatan dengan kemudahan untuk kesengangan penduduk.”

“Kami amat berbesar hati untuk menyerahkan kunci kepada penduduk Residensi Wangsamas 10 bulan lebih awal berbanding jadual dan berupaya untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan mampu milik demi manfaat komuniti.

“Usaha ini juga sebahagian daripada langkah menyokong usaha kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Terletak di pinggir ibu negara, Residensi Wangsamas membolehkan penduduknya mendapatkan akses mudah kepada pelbagai kemudahan, khususnya pusat-pusat beli-belah seperti AEON Big Wangsa Maju dan Wangsa Walk, sebuah taman rekreasi dan kompleks sukan yang berhampiran dengan kediaman mereka.

Kemudahan ini memastikan penghuni mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan mudah, pada masa yang sama, membolehkan mereka menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga tanpa perlu mengembara jauh ke pusat bandar yang sibuk dan sesak.

Dari aspek pengangkutan, Residensi Wangsamas berada di sebelah stesen LRT Sri Rampai.

Selaras dengan visi kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat, Aset Kayamas telah membina sebuah jejambat untuk membolehkan penduduk Residensi Wangsamas jalan ke stesen LRT berkenaan dengan selamat, tanpa perlu melintas jalan atau berada berhampiran dengan keadaan trafik yang sibuk.

Setakat ini, Aset Kayamas telah berjaya menyerahkan kunci kepada 5,820 unit yang telah disiapkan di bawah program Residensi Wilayah yang dianjurkan oleh kerajaan.

Unit-unit terlibat adalah projek pembangunan Residensi Pandanmas, Residensi Pandanmas 2, Residensi Sentulmas, Residensi Puchongmas, Residensi Razakmas, Residensi Gurneymas dan Residensi Jalilmas.

Di samping itu, syarikat pemaju berkenaan menyasarkan untuk menyerahkan 1,514 unit di Residensi Kepongmas pada Oktober depan.

Advertisement