Anda di sini

Lembaga siasatan umum insiden sebagai kejadian terpencil

Advertisement

KOTA KINABALU: Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) memutuskan insiden membabitkan Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya semasa pelaksanaan latihan keupayaan TDM diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, kejadian ketika acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lokawi pada 4 September itu dimuktamadkan sebagai kemalangan dalam latihan.

Jurucakap TDM berkata, pihaknya turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan berada dalam keadaan baik.

“TDM akan mengambil tindakan tatatertib sewajarnya terhadap individu terlibat selain mengemas kini Prosedur Standard Operasi (SOP) jika perlu.

“Latihan untuk memperkasa TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan sedia ada,” katanya.

Menyentuh aspek kebajikan terhadap Allahyarham dan keluarga, pihak Majlis Angkatan Tentera ke-578 (MAT 578) akan menaikkan pangkat Mejar Mohd Zahir kepada Leftenan Kolonel berdasarkan persidangan 17 September lalu tertakhluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak TDM menghulurkan bantuan sewajarnya kepada balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun serta ahli keluarga sejak hari pertama insiden berlaku.

“Allahyarham dan keluarga akan terus diberi bantuan dan faedah sewajarnya mengikut kelayakan yang ditetapkan dalam perkhidmatan TDM,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement