Anda di sini

AirAsia raih anugerah utama di Anugerah IDC Digital Transformation 2019

Advertisement
 Aireen (kanan) menerima anugerah  Pemangkin Digital Tahunan IDC DXa 2019 daripada Pengarah Urusan IDC Asean, Sudev Bangah.
TAHNIAH: Aireen (kanan) menerima anugerah Pemangkin Digital Tahunan IDC DXa 2019 daripada Pengarah Urusan IDC Asean, Sudev Bangah.

SEPANG: AirAsia  meraih anugerah Pemangkin Digital Tahunan untuk Malaysia di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) 2019.

Anugerah ini mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang di dalam projek melalui sinergi pengurusan IT dan perniagaan serta pengeluaran produk dan perkhidmatan digital dalam jangka masa yang berterusan.

AirAsia meraih anugerah tertinggi IDC DXa atas kecemerlangannya menggunakan pelbagai teknologi inovatif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih peribadi, mengoptimumkan pendapatan sampingan, me-ningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan dan memacu transformasi kepimpinan, bakat dan infrastruktur untuk menyokong strategi digital baharu AirAsia.

Antara teknologi baharu tersebut termasuklah pengkomputeran awam, pengoptimuman tambang melalui pembelajaran mesin, chatbot yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, ruang sembang menerusi aplikasi mudah alih, teknologi pengecaman wajah dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsial, Tony Fernandes juga telah memenangi anugerah DX Leader yang mengiktiraf peranan beliau sebagai pemacu visi transformasi digital serta evolusi syarikat penerbangan tersebut kepada sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup digital.

Presiden Kumpulan AirAsia (Redbeat Ventures), Aireen Omar menerima kedua-dua anugerah tersebut bagi pihak AirAsia di majlis IDC Digital Transformation Submit 2019 di The St Regis Kuala Lumpur semalam.

Tony dalam pada itu berkata, ”Kami teruja untuk menerima anugerah-anugerah ini kerana matlamat kami adalah untuk mengubah tanggapan kepada dunia bahawa AirAsia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi sebuah syarikat digital.

“Kami juga berbesar hati kerana AirAsia diiktiraf sebagai pemimpin transformasi digital dan menghargai pengiktirafan oleh IDC,” ujarnya.

Sementara itu Aireen berkata, “Anugerah-anugerah ini tidak dapat dicapai tanpa Allstars yang turut berusaha untuk memenuhi visi digital kami.

“Tanpa penglibatan, ketabahan dan semangat mereka, kami tidak mampu mencapai sasaran dalam masa yang singkat. Tidak lupa juga rakan kongsi perniagaan yang memberikan sokongan padu, terutamanya Google Cloud, yang bakal menjadi pemang-kin transformasi AirAsia kepada sebuah syarikat berpandukan teknologi Cloud 100 peratus yang pertama di Malaysia pada hujung tahun ini,” katanya.

Anugerah IDC DXa mengiktiraf syarikat yang berjaya merancang dan melaksanakan transformasi digital di dalam  satu atau beberapa bidang perniagaan mereka melalui aplikasi di-gital  dan inovasi disruptif.

Advertisement