Anda di sini

Lelaki nafi fakta kes, rompak jam tangan milik anak saudara

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang didakwa atas tuduhan melakukan rompak bersenjata terhadap anak saudaranya, menafikan fakta kes yang dibacakan kepadanya.

Oleh itu Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menolak pengakuan salah Mohd Zaini Matusin, 38, yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh didakwa bersenjatakan sebilah pisau ketika merampas jam tangan jenama Edifice Casio milik mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun.

Kesalahan dilakukan pada 15 September jam 11.35 pagi di Kampung Pikat, Bongawan daerah Papar.

Sabit salah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, penjara selama tempoh 14 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, selepas fakta kes dibacakan jurubahasa, tertuduh menafikan mengenai penggunaan senjata terbabit dan bersetuju untuk menjalani perbicaraan.

Namun Timbalan Pendakwaraya Nur Faezah Jafry tidak menawarkan ikat jamin diberikan kepada Mohd Zaini, ekoran daripada keseriusan kesalahan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah sehingga kes selesai.

Tarikh pengurusan kes dan perbicaraan masing-masing ditetapkan pada 17 Oktober dan 8 hingga 9 Januari tahun depan.

  • oleh
  • Advertisement