Anda di sini

Peranan Jabatan Air Negeri Sabah dikembalikan seperti asal

Advertisement
 Jaujan (tiga kiri) ketika meninjau salah satu tangki bekalan air di Pulau Bum Bum.
TINJAU: Jaujan (tiga kiri) ketika meninjau salah satu tangki bekalan air di Pulau Bum Bum.

SEMPORNA: Peranan Jabatan Air Negeri Sabah akan dikembalikan seperti asal sekiranya semua syarikat konsesi dilantik sebelum ini masih gagal melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, sekurang-kurangnya terdapat tujuh syarikat konsesi terbabit tetapi sehingga kini masih tidak mampu menaik taraf perkhidmatan membekalkan air kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

"Kalau mereka tidak mampu lagi kita akan tamatkan dan kembalikan peranan Jabatan Air itu sendiri.

"Hari ini, saya datang melawat Pulau Bum Bum untuk melihat sendiri aduan yang diterima daripada masyarakat setempat," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pulau Bum-Bum, di sini kelmarin.

Beliau berkata, perjumpaan dengan rakyat di akar umbi penting bagi menjelaskan bahawa kerajaan Sabah kini sedang menyiapkan satu lagi loji air untuk pulau berkenaan.

Katanya, kerajaan baharu sedar akan masalah yang dihadapi rakyat setempat, tetapi masyarakat di sini harus faham kerja menaik taraf loji air tidak dapat disiapkan dalam sehari atau setahun.

"Kerja ini mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan pelbagai faktor dan urusan teknikal.

"Masalah ini bukan sahaja disuarakan daripada media tetapi juga saya mahu sendiri berkunjung ke sini agar dapat berjumpa dengan penduduk di sini seterusnya menjelaskan usaha yang sedang dilakukan," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, masalah air dihadapi penduduk setempat sudah bermula sejak dahulu lagi.

"Sebab itu, apabila kita mengambil alih kerajaan, inilah antara tuntutan yang kita perlu percepatkan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan turut melawat ke tangki simpanan air di Terusan Tengah, Kubang dan Lok Malalom.

Untuk rekod, bekalan air kini tidak mencukupi dan catuan sedang dilakukan, penduduk juga pernah berhadapan gangguan bekalan air selama tiga minggu di pulau berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement