Anda di sini

Ceroboh dan rompak hasil laut, 12 nelayan Vietnam ditahan

Advertisement
 Bot nelayan asing pertama yang ditahan kerana menceroboh dan merompam hasil laut negara.
DITAHAN: Bot nelayan asing pertama yang ditahan kerana menceroboh dan merompam hasil laut negara.

SANDAKAN: Dua bot nelayan asing bersama 12 nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan negara berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas disyaki merompak hasil laut di perairan negara pada Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot pertama ditahan pada kedudukan 12.6 batu nautika Timur Laut Pulau Billean, kira-kira jam 9.40 pagi.

Sementara, bot kedua ditahan pada kedudukan 25 batu nautika Timur Laut Pulau Jambongan, kira-kira 45 minit kemudian.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot, kesemua 12 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berumur 23 hingga 48 tahun didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

"Lebih kurang 100 kilogram gamat turut ditemukan dipercayai disauk dari perairan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, ia merupakan kes kedua dan ketiga bot nelayan asing Vietnam ditahan dalam bulan yang sama sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan dengan menyasarkan balat (gamat).

Menurut beliau, bot, peralatan dan hasil gamat telah dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

 Salah sebuah bot nelayan asing yang ditahan APMM Sandakan.
CEROBOH: Salah sebuah bot nelayan asing yang ditahan APMM Sandakan.
  • oleh
  • Advertisement