Anda di sini

Akademi Binaan Malaysia bernilai RM80 juta akan dibina di Sabah

Advertisement
 Ahmad Asri menyampaikan sijil kemahiran graduasi kepada salah seorang pelatih.
TAHNIAH: Ahmad Asri menyampaikan sijil kemahiran graduasi kepada salah seorang pelatih.

SANDAKAN: CIDB Malaysia akan membina Akademi Binaan Malaysia terbesar bagi golongan belia di Sabah yang bernilai RM80 juta bermula tahun depan.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, kerja pembangunan tapak seluas 30 ekar dari 50 ekar di Beringgis, Papar telah mula dijalankan.

“Kerja menyiapkan reka bentuk bangunan juga sedang dijalankan yang mana kita menjangkakan kerja pembinaan bangunan akan dilaksanakan tahun depan.

“Apabila siap kelak, akademi ini boleh mengeluarkan 2,000 pelajar dalam setahun dan CIDB akan menempatkan pelbagai peralatan canggih serta terkini untuk kemudahan pelajar di akademi itu,” katanya.

Beliau demikian selepas Majlis Graduasi 2019 Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah di sini, semalam.  

Seramai 143 pelatih Graduasi 2019 Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah bagi daerah Sandakan dan Tawau melibatkan empat bidang utama Sijil Kemahiran CIDB.

Ahmad Asri berkata, buat masa ini pihaknya beroperasi di bangunan yang disewa di seluruh Sabah.

“Sebab itulah CIDB berhasrat untuk membina satu pusat Akademi Binaan Malaysia di Sabah yang memfokuskan kepada golongan belia negeri ini,” katanya.

Setakat ini, katanya, di Sabah pihaknya memiliki lima cawangan Akademi Binaan Malaysia iaitu di KKIP, Kayu Madang Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Tanjung Aru yang mana semua bangunan cawangan itu disewa.

“Di seluruh Malaysia, terdapat enam pusat Akademi Binaan Malaysia termasuk di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, CIDB membelanjakan RM100 juta dan di Sabah RM12 juta dalam tahun ini. Dari jumlah itu, CIDB menyediakan RM5 juta khusus untuk latihan belia Sabah yang mana 1,000 orang mampu dilatih dalam setahun.

“Tumpuan CIDB kini menyediakan latihan berimpak tinggi serta kemahiran yang mudah mendapat bidang pekerjaan dan pendapatan yang tinggi.

“Ciri-ciri latihan berimpak tinggi ini memerlukan kos yang besar iaitu pembelian peralatan dan dalam tempoh dua tahun ini, CIDB telah memperuntukkan RM45 juta bagi membeli mesin-mesin untuk menumpukan kepada latihan dan permintaan dalam bidang ini yang amat tinggi,” katanya.

 Para pelatih Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah yang menerima sijil pada majlis graduasi bergambar bersama Ahmad Asri.
TERLATIH: Para pelatih Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah yang menerima sijil pada majlis graduasi bergambar bersama Ahmad Asri.
  • oleh
  • Advertisement