Anda di sini

Titik panas di Sumatera, Kalimantan meningkat: JAS

Advertisement

PUTRAJAYA: Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara  (IPU) di semua kawasan di semenanjung, Sarawak dan barat Sabah, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laporan status kualiti udara dan jerebu semalam.

Jelasnya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada Sabtu 21 September  imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat peningkatan titik panas dikesan di Sumatera iaitu 777 manakala titik panas dikesan di Kalimantan meningkat kepada 363.

“Asap jerebu dari Sumatera memberi kesan kepada hampir keseluruhan semenanjung. Kluster titik panas di bahagian barat, tengah dan selatan Kalimantan berterusan melepaskan asap jerebu dan memberi kesan di negeri Sarawak,” katanya lagi.

Jelas JAS, sebanyak sembilan titik panas dikesan di dalam negara iaitu tiga di Selangor, dua di Johor, dua di Terengganu dan dua Sarawak. Terdapat titik-titik panas yang tidak dapat dicerap oleh imej satelit disebabkan oleh litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya.

“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke masa,” katanya lagi.

Jelas JAS, secara keseluruhan kualiti udara dalam negara masih lagi menerima kesan jerebu merentas sempadan dengan bilangan stesen kualiti udara tidak sihat adalah 39 stesen pada 11 pagi semalam.

IPU yang direkodkan pada 11  pagi Ahad menunjukkan tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 28 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, tambah kenyataan itu.

“Sebanyak 39 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini (semalam) antaranya Sungai Petani, Kedah (IPU 110); Balik Pulau, Pulau Pinang (160); Tasek Ipoh, Perak (178); Batu Muda, Kuala Lumpur (169), Putrajaya (134) dan Kuala Selangor (152),” katanya lagi.

Tambah JAS, Sri Aman di Sarawak yang menunjukkan bacaan IPU tahap bahaya iaitu IPU lebih dari 300 pada Sabtu (21 Sept) telah menunjukkan penurunan bacaan IPU kepada 195 iaitu  tahap tidak sihat pagi semalam.

“Kebakaran hutan belukar yang berlaku di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau di Sri Aman sedang dalam tindakan pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia manakala operasi pembenihan awan diteruskan bagi mengurangkan jerebu dan menurunkan bacaan IPU di kawasan berkenaan,” katanya lagi.  Tambah JAS, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menjalankan aktiviti luar seperti sukan, majlis perayaan dan sebagainya yang mendedahkan mereka kepada udara tidak sihat khususnya apabila IPU melebihi 150.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. — Bernama

Advertisement